DALIAN: Sebuah kilang pemasangan kenderaan komersial dicadangkan untuk dibina di Sabah menerusi kerjasama strategik antara pengeluar automotif China, Dongfeng dan Kim Teck Cheong Consolidated Berhad (KTC), sekali gus berpotensi menjadikan negeri ini hab pemasangan kenderaan komersial bagi rantau Borneo.
Cadangan itu dibincangkan dalam sidang video antara pengurusan Dongfeng di Wuhan, China dan delegasi Sabah di Dalian yang diketuai Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Ewon Benedick.
Kerjasama berkenaan dijangka mewujudkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan serta memperkukuh sektor perindustrian dan logistik negeri, selain menjadikan Sabah hab strategik bagi pasaran Sabah, Sarawak dan Indonesia.
Dalam sidang itu, Dongfeng secara rasmi memohon sokongan dan pemudah cara kerajaan negeri bagi merealisasikan usaha sama pembinaan kilang pemasangan tersebut.
Ewon menyambut baik cadangan pelaburan itu dan berkata kerajaan negeri mencadangkan Taman Perindustrian Kota Belud sebagai lokasi berpotensi untuk projek berkenaan.
Katanya, pelaburan itu selaras dengan agenda kerajaan negeri dalam memperkukuh pembangunan industri, logistik dan perdagangan, selain membuka peluang pekerjaan, pemindahan teknologi, latihan kemahiran serta pembangunan bakat tempatan dalam industri automotif.
Sementara itu, Pengarah Urusan KTC, Dexter Lau berkata syarikat itu telah memperoleh pembelian bernilai RM30 juta daripada Dongfeng sebagai fasa awal kerjasama.
Menurutnya, Sabah bakal memasuki fasa baharu pembangunan industri dengan fokus kepada pemasangan lori ringan dan jentera berat bagi menyokong pertumbuhan sektor logistik negeri.
Beliau berkata cadangan itu juga berpotensi menjadikan Sabah lokasi kilang pemasangan kenderaan pertama di Borneo yang melayani keseluruhan rantau pulau itu.
Dexter turut memaklumkan operasi pemasangan itu dijangka menyediakan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Sabah dalam sektor operasi, teknikal dan pemasangan kenderaan, selain Dongfeng komited memindahkan teknologi dan menyediakan latihan teknikal kepada pekerja tempatan.
Menurutnya lagi, inisiatif itu turut menyokong strategi ekonomi biru dan pembuatan Sabah dengan memanfaatkan infrastruktur pelabuhan dan perkapalan negeri untuk eksport ke rantau ASEAN.






