SEMPORNA: Empat individu mengalami kecederaan selepas sebuah kereta jenis Proton Saga terbabas sendiri di bahu jalan dalam kejadian di Kampung Selamat, Pekan Semporna, awal pagi Sabtu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Semporna, PBK I Norhaini Jumdeani berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 1.55 pagi sebelum sepasukan tujuh anggota bersama sebuah jentera CFRT dan sebuah kenderaan EMRS digerakkan ke lokasi.
Menurutnya, pasukan bomba tiba di lokasi kejadian pada jam 1.58 pagi dan mendapati kemalangan melibatkan sebuah Proton Saga yang terbabas sendiri di bahu jalan.
“Empat mangsa yang terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 20-an mengalami kecederaan dalam kejadian tersebut.
“Kesemua mangsa telah dihantar ke Hospital Semporna menggunakan kenderaan awam sebelum ketibaan pasukan bomba di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, anggota bomba seterusnya menjalankan pemeriksaan di lokasi serta mendapatkan maklumat berkaitan kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain yang boleh mengancam keselamatan orang awam.
“Setelah memastikan keadaan selamat dan tiada risiko lain dikesan di lokasi, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 2.23 pagi,” katanya.
Operasi melibatkan tujuh anggota BBP Semporna diketuai Komander Operasi, PBK I Mohd Shukri M. Hamsah, dengan bantuan petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).






