Syarikat Pengangkutan Darat Barangan dan Awam di Sabah, Sarawak, WP Labuan Digesa...

Syarikat Pengangkutan Darat Barangan dan Awam di Sabah, Sarawak, WP Labuan Digesa Segera Daftar SKDS

0
SHARE

KOTA KINABALU: Semua syarikat pengangkutan darat barangan dan awam di Sabah, Sarawak serta Wilayah Persekutuan Labuan digesa segera mendaftarkan kenderaan mereka di bawah Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) bagi memastikan kelangsungan penerimaan subsidi diesel melalui mekanisme fleet card apabila penguatkuasaan wajib dilaksanakan kelak.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, penggunaan wajib fleet card SKDS untuk mendapatkan subsidi diesel bagi sektor pengangkutan darat barangan dan awam akan dikuatkuasakan pada satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Menurut beliau, syarikat yang gagal mendaftar berisiko kehilangan akses kepada subsidi diesel yang disalurkan kerajaan melalui sistem berkenaan.

Jangan tunggu saat akhir. Semua syarikat yang layak perlu membuat permohonan segera kerana apabila tarikh penguatkuasaan diumumkan kelak, hanya kenderaan yang berdaftar di bawah SKDS dan mempunyai fleet card akan dapat menikmati subsidi diesel pada kadar yang ditetapkan,” katanya pada Majlis Penyerahan Fleet Card SmartPay PETRONAS di Kepayan, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pendaftaran bagi sektor pengangkutan darat barangan di Sabah, Sarawak dan Labuan telah dibuka sejak 4 Mei lalu, manakala sektor pengangkutan darat awam telah mula menikmati subsidi diesel menerusi SKDS sejak Jun 2024.

Setakat 14 Jun 2026, sebanyak 8,060 syarikat melibatkan 29,631 kenderaan telah berdaftar di bawah SKDS bagi ketiga-tiga wilayah tersebut.

Daripada jumlah itu, Sabah merekodkan 3,922 syarikat melibatkan 14,415 kenderaan, diikuti Sarawak dengan 3,869 syarikat dan 14,447 kenderaan, manakala Labuan mencatatkan 269 syarikat dengan 769 kenderaan.

Armizan berkata, syarikat yang berdaftar di bawah SKDS akan terus menikmati subsidi diesel pada kadar RM2.15 seliter bagi sektor pengangkutan darat barangan dan RM1.88 seliter bagi sektor pengangkutan darat awam.

Katanya, ketika ini terdapat 33 kategori kenderaan yang layak didaftarkan di bawah SKDS, terdiri daripada 23 kategori kenderaan pengangkutan darat barangan dan 10 kategori kenderaan pengangkutan darat awam.

Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan baru-baru ini memperluaskan kelayakan kepada kenderaan jenis jip dan pikap bagi membolehkan lebih banyak pengusaha di Sabah dan Sarawak menikmati manfaat subsidi tersebut.

“Pendaftaran kini jauh lebih mudah kerana sistem MySubsidi telah diintegrasikan dengan agensi berkaitan termasuk Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP). Sekiranya dokumen lengkap, kelulusan boleh diberikan dengan segera sebelum syarikat memohon fleet card daripada syarikat minyak yang menawarkan kemudahan tersebut,” katanya.

Menurut beliau, bagi Sabah, tiga syarikat minyak yang menyediakan kemudahan fleet card ialah PETRONAS, Shell dan Petron.

Armizan berkata, peluasan SKDS merupakan sebahagian daripada strategi kerajaan untuk memperkukuh pemantauan digital terhadap penyaluran subsidi diesel sekali gus memastikan bantuan tersebut sampai kepada kumpulan sasar.

“Melalui sistem ini, kita boleh memantau penggunaan subsidi secara lebih berkesan dan memastikan ia dimanfaatkan oleh syarikat pengangkutan yang benar-benar layak.

“Pada masa sama, ia dapat mengekang ketirisan subsidi sama ada melalui aktiviti penyeludupan, penyelewengan atau penyalahgunaan oleh pihak yang tidak layak termasuk warga asing dan pendatang tanpa izin,” katanya.

Beliau berkata, langkah itu amat penting memandangkan beban subsidi diesel yang ditanggung kerajaan semakin meningkat akibat ketidaktentuan pasaran tenaga global.

Menurutnya, kerajaan membelanjakan kira-kira RM2 bilion untuk subsidi diesel di Sabah dan Sarawak sepanjang tahun 2025.

Bagaimanapun, jumlah itu dijangka meningkat dengan ketara pada tahun ini susulan krisis tenaga yang tercetus akibat konflik Asia Barat sejak penghujung Februari lalu.

“Pada Januari lalu, subsidi diesel bagi Sabah dan Sarawak berjumlah RM103 juta, manakala Februari RM106 juta. Namun selepas konflik bermula pada 28 Februari, jumlah subsidi melonjak kepada RM563 juta pada Mac dan RM647 juta pada April.

“Ini bermakna bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini sahaja, kerajaan telah menanggung subsidi diesel berjumlah RM1.4 bilion untuk Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau menegaskan kerajaan kekal komited meneruskan pemberian subsidi diesel secara bersasar kepada rakyat dan industri bagi membantu mengawal kos sara hidup serta mengurangkan kesan kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

“Kerajaan akan terus memastikan bekalan bahan api negara mencukupi dan subsidi kepada golongan sasar diteruskan. Namun pada masa yang sama, kita perlu mengurus dana awam secara bertanggungjawab dan memastikan tiada ruang untuk ketirisan berlaku.

“SKDS adalah antara mekanisme pengurusan risiko terbaik yang membolehkan kita memanfaatkan teknologi digital untuk memperkukuh pemantauan, meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan dan menutup ruang penyelewengan subsidi,” katanya.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah, Naib Presiden, Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif PETRONAS Dagangan Berhad, Azrul Osman Rani, yang menyaksikan penyerahan fleet card kepada syarikat-syarikat pengangkutan darat barangan yang layak menerima subsidi diesel melalui mekanisme SKDS.