38 Rumah Setinggan Haram Diroboh di Belakang Alamesra

38 Rumah Setinggan Haram Diroboh di Belakang Alamesra

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebanyak 38 struktur penempatan setinggan haram dirobohkan menerusi operasi penguatkuasaan bersepadu di kawasan belakang Alamesra, Likas setakat 19 Jun lalu.

Operasi yang dilaksanakan melalui Jabatan Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) pada Jumaat itu menyaksikan 13 lagi struktur setinggan dirobohkan, menjadikan jumlah keseluruhan rumah yang telah diambil tindakan setakat ini sebanyak 38 buah.

DBKK dalam satu kenyataan berkata, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak berkuasa tempatan itu untuk mengembalikan fungsi asal tanah kerajaan yang diceroboh, melindungi kawasan sensitif alam sekitar serta memastikan pembangunan bandar raya berjalan secara teratur dan mematuhi undang-undang.

Menurut DBKK, kawasan koloni setinggan di belakang Alamesra dikenal pasti sebagai antara lokasi pencerobohan yang berkembang secara tidak terkawal di atas tanah rizab hutan bakau dan kawasan pesisir sungai.

Kewujudan penempatan haram ini menimbulkan pelbagai risiko termasuk ancaman keselamatan, masalah kesihatan awam, pencemaran alam sekitar serta menjejaskan ekosistem bakau yang merupakan aset semula jadi penting bagi Bandaraya Kota Kinabalu,” katanya.

Hasil bancian yang dijalankan Bahagian Perobohan dan Struktur Haram DBKK mendapati sebanyak 101 rumah telah dibina di kawasan penempatan mangsa kebakaran Kampung Cenderamata 2, Likas.

Selain itu, pihak berkuasa turut mengenal pasti sebanyak 150 struktur setinggan di kawasan bakau belakang Alamesra yang sebahagian besarnya didiami oleh penghuni bukan warganegara.

DBKK memaklumkan bahawa notis pengosongan, pengalihan dan perobohan telah diserahkan kepada penghuni terlibat pada 13 April lalu dengan tempoh pematuhan selama 14 hari sebelum tindakan penguatkuasaan dilaksanakan.

Operasi tersebut dijalankan secara bersepadu melibatkan kerjasama beberapa agensi termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sabah Electricity Sdn Bhd (SE), Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) serta Bahagian Perobohan dan Struktur Haram, Jabatan Penguatkuasaan DBKK.

Menurut DBKK, sebanyak 112 lagi struktur haram telah dikenal pasti untuk tindakan penguatkuasaan seterusnya.

“DBKK tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang membina, menduduki atau melindungi struktur haram di atas tanah kerajaan.

“Tindakan penguatkuasaan akan terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa selaras dengan dasar Kerajaan Negeri Sabah dalam membanteras penempatan setinggan dan mengembalikan penguasaan tanah kerajaan kepada tujuan yang sah,” katanya.

Tambah kenyataan itu, tindakan berkenaan bukan sekadar operasi perobohan, sebaliknya langkah strategik bagi memelihara kawasan rizab alam sekitar, mengurangkan risiko kebakaran dan jenayah serta meningkatkan imej Kota Kinabalu sebagai bandar raya yang bersih, teratur, selamat dan berdaya huni.

DBKK turut memaklumkan operasi berkenaan berjalan lancar, terkawal serta tanpa sebarang insiden tidak diingini.