Ambuyat, Ikan Ampap Tarik Perhatian di Gerai SAFMA Sempena MAHA Labuan

Ambuyat, Ikan Ampap Tarik Perhatian di Gerai SAFMA Sempena MAHA Labuan

0
SHARE

LABUAN: Hidangan tradisi Sabah seperti ambuyat bersama ikan ampap menjadi antara tarikan utama di gerai Sabah Fish Marketing Sdn. Bhd. (SAFMA) sempena program Road to MAHA Labuan 2026.

Penyertaan SAFMA dalam program itu dimanfaatkan untuk memperkenalkan Program Ikan Rakyat Sabah (IRS) kepada masyarakat, sekali gus meningkatkan kesedaran mengenai usaha menyediakan bekalan ikan segar, berkualiti dan pada harga berpatutan.

Pengurus Besarnya, Burhan Japar, berkata program berkenaan bukan sahaja membantu rakyat mendapatkan bekalan ikan berkualiti pada harga mampu milik, malah menyokong agenda keterjaminan makanan negeri, meningkatkan pendapatan nelayan tempatan serta merancakkan pembangunan industri perikanan Sabah.

Platform seperti Road to MAHA bukan sahaja memperkenalkan produk tempatan kepada pengguna, malah membuka peluang kerjasama strategik yang mampu memperkukuh ekosistem industri perikanan negara,” katanya.

Menurutnya, gerai SAFMA turut menampilkan pelbagai produk makanan laut termasuk ikan segar, makanan laut sejuk beku serta produk hiliran, selain hidangan tradisi seperti ambuyat bersama ikan ampap dan pais ikan yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pengunjung.

Pameran itu turut dikunjungi Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, yang meninjau pelaksanaan Program IRS serta produk dipamerkan.

Dalam lawatan itu, beliau turut menikmati hidangan ambuyat bersama ikan ampap yang disediakan menggunakan Ikan Rakyat Sabah dan menzahirkan penghargaan terhadap usaha SAFMA mempromosikan makanan warisan negeri.

Burhan berkata, kehadiran Jamawi mencerminkan sokongan berterusan kerajaan negeri terhadap usaha memperkasakan industri perikanan serta mempromosikan hasil laut Sabah ke pasaran lebih luas.

Sepanjang program yang berlangsung dari 23 hingga 26 Julai lalu, pengunjung turut berpeluang menyertai demonstrasi masakan, menikmati pelbagai produk makanan laut SAFMA serta mendapatkan maklumat mengenai Program Ikan Rakyat Sabah dan inisiatif syarikat.

Beliau berkata, penyertaan itu membuktikan komitmen SAFMA untuk terus memperkukuh agenda keterjaminan makanan, meningkatkan nilai tambah hasil perikanan serta mempromosikan keunikan makanan tradisi Sabah kepada masyarakat dan pelancong.