Ghazali Puji Potensi Boules, SK Tambulaong Raih Gelaran Juara di Peringkat Negeri

Ghazali Puji Potensi Boules, SK Tambulaong Raih Gelaran Juara di Peringkat Negeri

0
SHARE

TUARAN: Datuk Mohammad Ghazali Hajiji memuji potensi sukan boules dalam membentuk disiplin, ketahanan mental dan semangat berpasukan dalam kalangan murid, ketika SK Tambulaong muncul juara Pertandingan Boules Peringkat Negeri Sabah 2026 di Gelanggang Boules SK Tambulaong, hari ini.

Ghazali yang merupakan Setiausaha Politi Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, pertandingan seumpama itu bukan sekadar medan mengejar kemenangan, malah mampu membentuk jati diri, keyakinan serta semangat kesukanan generasi muda.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penutupan Pertandingan Boules Peringkat Negeri Sabah 2026 di SK Tambulaong, Tuaran.

Kejohanan berkenaan menghimpunkan 10 buah sekolah, antaranya SK Lok Yuk Telipok, SK Tiong Perungusan, SK Taginambur, SK Ulu Kalabakan, SK Pekan Beaufort, SK Takuli serta SK Tambulaong selaku tuan rumah.

Kejayaan itu menjadi lebih manis buat warga SK Tambulaong apabila pasukan sekolah berkenaan berjaya meraih gelaran juara peringkat negeri di gelanggang sendiri.

Ghazali turut berharap gelanggang boules SK Tambulaong terus dimanfaatkan bagi mencungkil bakat baharu, melatih atlet muda serta mengembangkan sukan berkenaan di Tuaran dan Sabah.

Dalam pada itu, Ghazali turut menyumbang RM5,000 kepada SK Tambulaong bagi menyokong pembangunan dan aktiviti sukan sekolah.

Pada majlis sama, beliau turut merasmikan Kempen Zero Waste Zero Hassle Peringkat Sekolah yang melibatkan pengurusan sisa kertas, plastik dan kaca, sebagai usaha membudayakan kesedaran menjaga kebersihan serta alam sekitar dalam kalangan warga sekolah.

Turut hadir Ardi bin Abdul Adis, Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Tuaran, Unit Bakat Murid (Sukan), Sektor Pembangunan Murid, Pejabat Pendidikan Daerah Tuaran, Murkam bin Hj. Hussin, Presiden Kesatuan Guru-guru Kerajaan Sabah, Zorimas Mohd. Kudin, Guru Besar SK Tambulaong, Tuaran merangkap tuan rumah dan Pengerusi Penganjur, Mohd. Hammiieddy bin Esa, Arbitre Kejohanan Boules Peringkat Negeri Sabah, serta Farah Wahidah binti Roslan, Pegawai Teknikal Kejohanan Boules Peringkat Negeri Sabah.