LAHAD DATU: Tiga lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas kereta Proton Aeroback dinaiki mereka dipercayai terbabas sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter di Jalan Hutan Simpan Bagahak, di sini, malam tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, PKPgB Sumsoa Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.38 malam menerusi NG999.
Katanya, pasukan bomba kemudian digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 50 kilometer dari balai dan tiba pada jam 8.16 malam.
“Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati benar berlaku kemalangan membabitkan sebuah Proton Aeroback yang dipercayai terbabas sendiri di selekoh jalan sebelum terjunam ke dalam gaung sedalam kira-kira lima meter.
“Tiga lelaki dewasa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Sumsoa berkata, seorang lagi lelaki dewasa mengalami kecederaan dan dihantar ke hospital menggunakan ambulans KKM untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Katanya, mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya, manakala identiti kesemua mangsa belum diperoleh.
Operasi diketuai PB Abdul Gani Abdul Shani dengan bantuan PDRM dan KKM.
“Setelah memastikan tiada lagi sebarang bahaya di lokasi kejadian, pasukan bomba menamatkan operasi pada jam 8.45 malam sebelum kembali ke balai,” katanya.






