Sabah Teroka Kerjasama Baharu Dengan Arab Saudi, Finland

Sabah Teroka Kerjasama Baharu Dengan Arab Saudi, Finland

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sabah terus memperluas jaringan antarabangsa dengan meneroka potensi kerjasama baharu bersama Arab Saudi dan Finland dalam usaha menyokong pembangunan negeri serta membuka peluang kepada pelaburan berkualiti.

Usaha itu diperkukuh menerusi pertemuan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor dengan Duta Besar Kerajaan Arab Saudi ke Malaysia, TYT Osamah Dakhei R Al Ahmadi dan Duta Besar Finland ke Malaysia, Puan Yang Terutama (PYT) Anne Vasara.

Hajiji menerima kunjungan hormat Osamah di Menara Kinabalu, di sini, hari ini yang merupakan pertemuan pertama kedua-duanya selepas beliau dilantik sebagai Duta Besar Kerajaan Arab Saudi ke Malaysia dan memulakan tugas pada awal tahun ini.

Pertemuan berkenaan memberi ruang kepada kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai kepentingan memperkukuh hubungan sedia ada, selain meneroka bidang kerjasama baharu yang berpotensi menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan Sabah.

Usaha Sabah memperkukuh hubungan dan kerjasama antarabangsa turut diteruskan menerusi kunjungan hormat Anne kepada Hajiji di Menara Kinabalu, semalam.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai potensi memperkukuh hubungan dan kerjasama Malaysia-Finland, khususnya dalam bidang yang boleh memberi manfaat kepada Sabah.

Antara bidang yang diberi perhatian ialah pembangunan mampan, teknologi, inovasi dan ekonomi hijau, selaras dengan usaha Sabah memperluas jaringan kerjasama antarabangsa serta menarik pelaburan berkualiti.

Sabah turut mempunyai pengalaman meneroka pendekatan Finland dalam bidang inovasi, kelestarian dan ekonomi kitaran, termasuk menerusi lawatan pembelajaran pegawai kanan Kerajaan Negeri ke Helsinki sebelum ini.

Kedua-dua kunjungan itu mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk terus memperluas hubungan dengan rakan antarabangsa serta mengenal pasti peluang kerjasama strategik yang mampu memberi nilai tambah kepada pembangunan dan kemajuan Sabah.