PAPAR: Margin simpanan penjanaan elektrik Sabah meningkat daripada lapan peratus pada 2024 kepada 19 peratus setakat Ogos 2026, kata Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali.
Beliau berkata angka itu diumumkan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tenaga Sabah pada 21 September lalu.
Katanya, margin simpanan berkenaan turut disasarkan mencapai 26 peratus menjelang akhir tahun ini.
“Pada masa yang sama, tempoh purata gangguan bekalan elektrik tahunan yang diukur melalui Indeks Tempoh Gangguan Purata Sistem (SAIDI) turut menunjukkan penurunan dari tahun ke tahun,” katanya kepada media sempena pengoperasian Pencawang Pembahagian Utama (PPU) Benoni, pada Khamis.
Armizan berkata pengukuhan bekalan itu sejajar dengan perancangan melalui Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SE-RAMP 2040) dan Pelan Pembangunan Penjanaan Elektrik Sabah (PDP2026), yang bertujuan memastikan kapasiti penjanaan dapat memenuhi permintaan tenaga.
Di Papar, katanya, PPU Benoni 33/11kV akan memperkukuh rangkaian pengagihan elektrik sedia ada serta menyediakan kemudahan bekalan sandaran bagi Pencawang Masuk Utama Papar dan PPU Kimanis.
“PPU Benoni merupakan infrastruktur elektrik yang amat strategik bagi menampung dan menyokong pertumbuhan kawasan Benoni dan sekitarnya yang berkembang dengan amat pesat,” katanya.
Beliau berkata infrastruktur itu akan menyokong keperluan bekalan elektrik isi rumah serta sektor komersial dan industri.






