KOTA MARUDU, SABAH – Seorang warga Pakistan dikenakan hukuman ‘Sogit’ (denda adat) lapan (8) ekor kerbau dan lapan (8) buah gong oleh Mahkamah Anak Negeri di sini hari ini selepas mengaku menghina suku kaum Kadazandusun bulan lepas.
Amir Khan Nawati, 50, mengaku melakukan perbuatan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim yang juga Ketua Daerah Kota Marudu Datuk Baintin Adun, Ketua Anak Negeri Ramli Madina serta beberapa pemimpin suku kaum Kimaragang Tandek.
Amir, merupakan pemegang taraf pemastautin tetap telah didakwa menghina dan secara sengaja menjatuhkan maruah suku kaum Kadazandusun, Kimaragang dan Cina menerusi satu rakaman suara berdurasi lima minit yang tular di media sosial Facebook pada 8 Jun lepas.
Menurut perintah mahkamah, Amir Khan berdepan hukuman denda sebanyak RM4,000 atau 16 bulan penjara atau kedua-duanya jika dia gagal membayar ‘Sogit’ tersebut.