KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengecam tindakan membakar karikatur menyerupai Perdana Menteri semasa Perarakan Gempur Rasuah 2.0 yang tular baru-baru ini.
Insiden itu disifatkan sebagai perbuatan biadab dan tidak mencerminkan sahsiah pelajar institusi pengajian tinggi.
“Tindakan tersebut bukan sahaja bertentangan dengan norma perhimpunan aman, malah tidak beradab, kurang matang dan mencemar nama baik mahasiswa,” menurut kenyataan yang dikeluarkan Pusat Komunikasi Korporat UMS hari ini.
UMS turut menegaskan bahawa universiti tidak terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam perarakan tersebut.
“Pihak universiti akan membuat laporan polis dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut,” jelasnya lagi.
UMS juga melahirkan kekesalan terhadap kenyataan kumpulan terbabit yang mempersoalkan pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah.
“Pelantikan tersebut dibuat atas perkenan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan seharusnya dihormati,” tegas pihak universiti.






