Pekerja Kontraktor Maut, Terkena Renjatan Elektrik Ketika Baiki Lampu Sekolah di Kudat

Pekerja Kontraktor Maut, Terkena Renjatan Elektrik Ketika Baiki Lampu Sekolah di Kudat

0
SHARE

KUDAT: Seorang pekerja kontraktor warga Filipina maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika menjalankan kerja pemasangan dan pembaikan lampu di kawasan pagar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lok Yuk, Batu 1, di sini, pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 pagi itu, mangsa lelaki berusia 56 tahun dipercayai terkena renjatan elektrik selepas tangga yang digunakannya tersentuh kabel elektrik sebelum terjatuh.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintenden Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu sebelum sepasukan anggota polis dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati seorang lelaki ditemukan terbaring di kawasan luar pintu gerbang sekolah berkenaan ketika menjalankan kerja-kerja pemasangan dan pembaikan lampu.

“Berdasarkan maklumat awal, tangga yang digunakan mangsa dipercayai tersentuh kabel elektrik sehingga menyebabkan mangsa terkena renjatan elektrik sebelum terjatuh,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Kudat untuk tindakan lanjut.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan kematian mengejut (SDR) dan pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti keadaan sebenar kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat, Penolong Kanan Penguasa Bomba Darikson Galanang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.31 pagi sebelum sembilan anggota bersama jentera dikerahkan ke lokasi kejadian.

Katanya, pasukan bomba tiba empat minit kemudian dan mendapati seorang lelaki dipercayai terkena renjatan elektrik berada di kawasan pintu gerbang sekolah berkenaan.

“Pasukan bomba menjalankan penilaian awal di lokasi sebelum menghubungi Sabah Electricity (SE) pada jam 8.40 pagi bagi mendapatkan bantuan memutuskan bekalan elektrik untuk memastikan keselamatan operasi menyelamat.

“Pihak SE tiba pada jam 9.12 pagi dan memutuskan bekalan elektrik sebelum mangsa berjaya dikeluarkan ke kawasan selamat pada jam 9.15 pagi,” katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh petugas KKM sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.