KOTA KINABALU: Kos tambang penerbangan yang terlalu mahal bagi perjalanan dari Sabah ke Semenanjung mendorong golongan belia negeri ini mengusulkan kadar tambang istimewa bagi mengurangkan beban kewangan mereka.
Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan berkata, cadangan itu antara lima usul yang dibentangkan dan dibahaskan pada Persidangan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Sabah Tahun 2026 Penggal Ke-35, Sesi 2025–2026.
Menurutnya, kadar tambang penerbangan yang tinggi menjadi antara perkara yang diberi perhatian golongan belia, khususnya mereka yang perlu melakukan perjalanan ke Semenanjung bagi pelbagai urusan.
“Oleh kerana ada aktiviti-aktiviti atau program-program atau perkara-perkara yang memerlukan mobilisasi pergerakan orang muda itu ke Semenanjung atas urusan-urusan rasmi atau apa-apa jua urusan, namun kadang-kadang harga tambang itu adalah terlalu mahal.
“Jadi belia-belia Sabah memohon dan mengusulkan agar ada tambang yang istimewa untuk belia-belia ini supaya ia tidak membebankan belia di dalam pergerakan mereka untuk ke Semenanjung daripada Kota Kinabalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas persidangan berkenaan yang menghimpunkan wakil belia dari seluruh Sabah, termasuk kawasan bandar, luar bandar dan pedalaman.
Nizam berkata, selain isu tambang penerbangan, empat usul lain turut dibentangkan merangkumi usaha memperkukuh pendidikan, kesihatan, keselamatan diri dan pencegahan gangguan seksual dalam kalangan belia.
Usul lain termasuk pembangunan hab keusahawanan digital dan agropreneur belia, penyediaan kursus Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) mengikut kesesuaian lokaliti serta peluasan bantuan yuran peperiksaan Malaysian University English Test (MUET).
Mengulas mengenai TVET, beliau berkata, bidang kemahiran itu perlu diperluaskan dan disesuaikan dengan keperluan semasa di setiap daerah bagi memberikan nilai tambah serta peluang menjana pendapatan kepada belia.
“Pendidikan TVET harus diperluaskan dan disesuaikan dengan keperluan semasa di daerah-daerah berkenaan kerana kemahiran ini adalah merupakan salah satu bidang yang kalau kita terokai ia, maka ia akan memberi nilai tambah kepada belia-belia di Sabah dan juga akan dapat menjana pendapatan kepada mereka,” katanya.
Sementara itu, Nizam berkata, kesemua lima usul yang telah dibentangkan, dibahaskan dan mendapat maklum balas kementerian serta agensi berkaitan akan dikemukakan kepada Ketua Menteri Sabah dan Menteri Belia dan Sukan Malaysia untuk pertimbangan lanjut.
“Usul-usul ini adalah pandangan dan juga idea yang kita dapat daripada belia-belia di Sabah sendiri.
“Mudah-mudahan segala usul-usul ini akan dapat pertimbangan sebaik mungkin dan dapat dilaksanakan dalam masa terdekat kerana semua yang dibincang dan dibahaskan ini adalah perkara-perkara yang dekat dengan belia-belia, khususnya belia-belia di negeri Sabah,” katanya.






