KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 911 kes keganasan terhadap wanita pada 2025, menurun 4.2 peratus berbanding 951 kes pada 2024, dengan keganasan rumah tangga kekal sebagai kes tertinggi.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kes keganasan rumah tangga mencatatkan penurunan daripada 404 kes pada 2024 kepada 341 kes pada 2025.
“Saya percaya angka yang dilaporkan ini mungkin belum menggambarkan keseluruhan keadaan sebenar kerana masih terdapat mangsa yang tidak berani tampil membuat laporan.
“Oleh itu, kita tidak boleh memandang ringan isu ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Keluarga Sejahtera, Wanita Unggul sempena Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita Sedunia Tahun 2026 di Wisma Wanita, di sini, pada Khamis.
Julita berkata, keganasan terhadap wanita bukan sekadar isu sosial atau perundangan, malah turut memberi kesan kepada kesihatan awam, produktiviti ekonomi, perkembangan kanak-kanak dan kestabilan masyarakat.
“Kita tidak boleh membiarkan keganasan menjadi satu kitaran yang diwarisi daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.
“Sekiranya kita mengetahui berlakunya penderaan yang serius, sama ada dalam kalangan jiran, keluarga atau sesiapa sahaja, jangan memilih untuk berdiam diri. Laporkan kepada pihak berkuasa supaya tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap pelaku,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mahu kempen kesedaran diperluas hingga ke peringkat kampung dan luar bandar melalui kerjasama agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta institusi masyarakat.
Julita turut mengingatkan bahawa mangsa boleh mendapatkan bantuan menerusi Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 jam setiap hari, selain perkhidmatan bantuan guaman yang disediakan melalui Jabatan Hal Ehwal Wanita Sabah (JHEWA).






