KOTA KINABALU: Ketua PKR Kota Kinabalu merangkap ADUN lantikan, Grace Lee Li Mei, menggesa komuniti Cina supaya tampil membantu warga emas Cina kurang berkemampuan di bandar ini, khususnya golongan B40 yang sering tercicir daripada skim bantuan sedia ada.
Beliau berkata warga emas Cina miskin dianggarkan kurang lima peratus daripada komuniti Cina di Kota Kinabalu, namun ramai memilih untuk berdiam diri walaupun berdepan kesukaran hidup.
Menurutnya, tidak semua layak menerima bantuan kerajaan kerana tidak berdaftar di bawah eKasih, manakala penempatan di rumah kebajikan pula terhad.
Beliau turut memaklumkan bahawa tiada bantuan khusus seperti Baitulmal atau sokongan institusi agama untuk golongan ini.
Grace berkata sumbangan kecil tetapi konsisten daripada pemain industri, NGO dan individu mampu memberi kesan besar.
Pada 2026, beliau merancang menyelaras bantuan melibatkan lawatan rumah, sokongan perubatan dan aktiviti komuniti, selain menganjurkan makan tengah hari percuma mingguan untuk warga emas.
Beberapa warga emas yang hadir pada majlis makan tengah hari Krismas berkongsi kesukaran hidup, termasuk pendapatan tidak menentu, kos sara hidup tinggi, masalah kesihatan kronik dan kesukaran mendapatkan pinjaman atau bantuan.
“Golongan ini mungkin kecil dari segi jumlah, tetapi penderitaan mereka nyata. Menyokong warga emas bukan soal kebajikan semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama,” katanya.






