SEPANG: Syarikat penerbangan tambang rendah AirAsia mengumumkan tawaran promosi tambang tetap selama tiga hari bagi memudahkan rakyat Malaysia di Semenanjung pulang ke Sabah sempena Pilihan Raya Negeri Sabah (PRN17) yang dijadual berlangsung pada 29 November 2025.
AirAsia dalam satu kenyataan berkata, tawaran khas ini meliputi perjalanan antara 26 hingga 28 November 2025, melibatkan lebih 4,300 tempat duduk merangkumi 8 laluan domestik dan 24 penerbangan ke negeri di bawah bayu itu.
“Di bawah inisiatif ini, pelanggan boleh terbang dari Kuala Lumpur ke Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau atau Labuan, serta dari Johor Bahru ke Kota Kinabalu dan Tawau, selain dari Kota Bharu dan Pulau Pinang ke Kota Kinabalu, dengan tambang tetap RM299 sehala, termasuk semua caj,” jelas kenyataan itu di sini, semalam.
Jelasnya lagi, promosi ini menzahirkan komitmen berterusan syarikat untuk menyokong rakyat Malaysia khususnya di Sabah, yang merupakan antara pasaran domestik terpenting bagi AirAsia.
“Sebagai syarikat penerbangan pilihan semua, kami sentiasa bersama komuniti yang kami layani. Pilihan raya merupakan hari yang menyatukan masyarakat untuk membentuk masa depan, dan inisiatif ini adalah cara kami membantu rakyat pulang dan mengambil bahagian,” kata Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Dato’ Kapten Fareh Mazputra.
Beliau menambah, Sabah sentiasa mempunyai tempat istimewa dalam rangkaian penerbangan AirAsia, dan tawaran ini merupakan tanda penghargaan syarikat terhadap kesetiaan rakyat negeri tersebut.
Menurut AirAsia, tiket penerbangan promosi tambang tetap ini boleh ditempah bermula hari ini hingga 26 Oktober 2025 melalui laman web rasmi airasia.com atau aplikasi AirAsia MOVE.
Langkah ini turut melengkapkan pelbagai inisiatif terdahulu AirAsia termasuk program FLYsiswa dan tambang tetap musim perayaan, yang bertujuan membantu rakyat menikmati perjalanan mampu milik bagi tujuan penting seperti sambutan perayaan dan urusan mengundi.