LABUAN – Seorang kru kapal yang mengalami sakit jantung diberikan bantuan MEDEVAC (Medical Evacuation) dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sekitar jam 8.00 malam tadi.
Pengarah Zon Maritim Labuan, Kapten Maritim Nudin bin Jusoh berkata kapal Perdana Liberty bersauh di posisi lebih kurang 0.7 BN Tenggara Pulau Papan.
“Pusat Operasi Zon Maritim Labuan menerima panggilan kecemasan daripada ‘Labuan Port Control’ dan terus mengaktifkan operasi dengan mengatur gerak Bot Kilat 40 bagi memindahkan mangsa,” katanya.

Mangsa dibawa ke jeti Zon Maritim Labuan di mana beliau diberikan rawatan awal oleh Pembantu Perubatan serta petugas ambulan sebelum dibawa ke Hospital Labuan untuk rawatan lanjut.

“Selain penguatkuasaan undang-undang di Zon Maritim Malaysia, Maritim Malaysia turut bertanggungjawab memastikan keselamatan orang ramai ketika melakukan aktiviti di laut,” tambah Nudin.





