Bank Dunia Cadang Umur Akses KWSP dan Pencen Sosial Dinaikkan Antara 65...

Bank Dunia Cadang Umur Akses KWSP dan Pencen Sosial Dinaikkan Antara 65 hingga 70 Tahun

0
SHARE

KOTA KINABALU: Bank Dunia mencadangkan agar umur akses pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dinaikkan daripada 55 tahun kepada antara 65 dan 70 tahun bagi menyesuaikan dasar sosial negara dengan struktur demografi Malaysia yang semakin menua.

Cadangan itu dikemukakan dalam laporan terbaharunya bertajuk “Should Malaysia Expand Its Social Pension? Global Evidence, Design Issues and Options” yang dilancarkan hari ini.

Menurut laporan tersebut, umur akses semasa bagi pengeluaran simpanan persaraan dianggap terlalu rendah berbanding jangka hayat rakyat Malaysia yang semakin panjang.

Bank Dunia menjelaskan bahawa penetapan umur yang lebih tinggi akan membolehkan faedah purata yang lebih besar bagi penerima pencen sosial, di samping memastikan sistem perlindungan sosial negara kekal mampan untuk jangka panjang.

Ia turut mencadangkan agar umur kelayakan pencen sosial dinaikkan secara berperingkat daripada 60 tahun kepada antara 65 hingga 70 tahun.

Memetik Berita Harian, laporan itu turut memetik analisis berdasarkan Household Income and Expenditure Survey (HIES) 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan kadar kemiskinan meningkat mengikut umur ketua isi rumah, masing-masing 24 peratus bagi mereka berumur 60 tahun ke atas, 42 peratus (65 tahun ke atas), dan 49 peratus (70 tahun ke atas).

Ini menggambarkan risiko kemiskinan yang meningkat seiring dengan pertambahan usia.

Bank Dunia menegaskan bahawa peningkatan umur kelayakan pencen sosial wajar dilaksanakan bersama peluasan liputan skim kepada lebih ramai penerima, khususnya mereka yang tidak mempunyai simpanan persaraan atau pencen tetap.

Pelaksanaan serentak dua langkah itu dilihat dapat mengekalkan kepercayaan awam serta mengelakkan tekanan fiskal kepada kerajaan.

Bagi mengelakkan kesan negatif terhadap penerima sedia ada, Bank Dunia mencadangkan supaya kumpulan sedia ada terus menerima bantuan berdasarkan umur semasa, manakala penerima baharu tertakluk kepada umur kelayakan yang lebih tinggi.

Langkah ini dijangka membolehkan kerajaan menawarkan kadar pencen sosial yang lebih tinggi tanpa menambah beban fiskal secara mendadak.

Kajian oleh Khazanah Research Institute (KRI) dan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC) turut menyokong pendekatan berperingkat itu, yang dilihat dapat mengimbangi kebajikan rakyat dan kemampuan kewangan negara.

Bank Dunia menambah, pada masa hadapan umur kelayakan pencen sosial juga boleh disesuaikan secara automatik mengikut peningkatan jangka hayat sihat, selaras dengan amalan di beberapa negara maju di bawah Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD).