KOTA KINABALU: Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu mengesahkan satu kejadian samun bersenjata berlaku di sebuah farmasi di Jalan Gaya pada Sabtu (6 Sept) kira-kira jam 4.41 petang.
Seorang lelaki tempatan berusia 18 tahun mengacukan pisau kepada pekerja farmasi dan mengarahkannya membuka mesin wang tunai.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, ACP Kasim Muda berkata, mangsa mengalami kecederaan di tapak tangan kanan ketika cuba melawan dan merampas pisau.
“Suspek berjaya ditahan oleh orang awam di lokasi sebelum diserahkan kepada polis.
“Semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah dan ujian air kencing negatif,” katanya dalam sebuah kenyataan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata hingga menyebabkan kecederaan.
“Kami menzahirkan penghargaan kepada orang awam yang membantu dalam penangkapan suspek.
“Orang ramai diingatkan agar sentiasa berhati-hati serta segera menghubungi polis sekiranya berdepan dengan kejadian jenayah,” tambah Kasim.
Kejadian turut menjadi tular dengan rakaman video menunjukkan suspek ditahan orang awam.