Lelaki Warga Emas Ditahan Ugut Pakar Patologi Inkues Zara Qairina

Lelaki Warga Emas Ditahan Ugut Pakar Patologi Inkues Zara Qairina

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 61 tahun di Semporna kerana disyaki mengugut seorang pakar patologi yang memberi keterangan dalam prosiding inkues kematian pelajar Tingkatan Satu, Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir.

Pesuruhjaya Polis Sabah, CP Datuk Jauteh Dikun berkata, suspek ditahan kira-kira jam 7.00 pagi tadi di perkarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, hasil siasatan terhadap laporan polis yang dibuat pada 5 September lalu.

Menurutnya, ugutan itu dipercayai dimuat naik melalui akaun Facebook menggunakan nama “Amung Kamaruddin” yang menyasarkan pakar patologi dari Hospital Queen Elizabeth I (HQE), Kota Kinabalu.

“Hasil siasatan mendapati kenyataan yang disiarkan berunsur ugutan jenayah serta melibatkan penyalahgunaan kemudahan rangkaian.

“Penahanan dibuat bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan kerana menakutkan secara jenayah, serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Redmi daripada suspek. Semakan awal mendapati gajet berkenaan digunakan untuk mengendalikan akaun “Amung Kamaruddin” yang mengeluarkan kenyataan berbentuk ugutan.

Datuk Jauteh dalam masa sama menasihati orang ramai supaya menggunakan media sosial secara berhemah dan tidak menulis atau berkongsi sebarang kandungan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.

“PDRM memandang serius sebarang bentuk penyalahgunaan media sosial. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggar undang-undang,” tegasnya sambil mengingatkan masyarakat agar berfikir sebelum memuat naik apa-apa kenyataan di platform digital.