Anggota Polis Cedera Ditembak, Mayat Wanita Ditemui Dalam Kereta di Ipoh

Anggota Polis Cedera Ditembak, Mayat Wanita Ditemui Dalam Kereta di Ipoh

0
SHARE

IPOH: Seorang anggota polis cedera parah selepas ditikam dan ditembak ketika cuba menahan seorang suspek lelaki dalam kejadian di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Kilang Aalborg Portland, Simpang Pulai, awal pagi tadi.

Susulan kejadian itu, polis turut menemui mayat seorang wanita di dalam kereta yang dipandu suspek.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan, insiden berlaku kira-kira jam 1.15 pagi ketika mangsa, seorang anggota polis berusia 28 tahun dari Balai Polis Simpang Pulai, bersama pasukan rondaan cegah jenayah (RCJ) cuba menahan sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza berwarna hijau bernombor pendaftaran AFL 828 yang mencurigakan di Taman Desa Pakatan, Sungai Pinji.

Suspek enggan memberi kerjasama lalu memecut kenderaan ke arah Jalan Lahat sebelum dikejar pasukan polis sejauh kira-kira 2.6 kilometer. Kenderaan suspek kemudian berhenti di dalam kawasan kebun kelapa sawit.

Semasa cuba ditahan, berlaku pergelutan antara anggota polis terbabit dengan suspek.

Suspek bertindak menikam mangsa sebelum merampas pistol jenis P99 milik anggota berkenaan dan melepaskan dua das tembakan ke arah perutnya.

Mangsa mengalami kecederaan serius dengan tiga kesan tikaman serta dua kesan tembakan dan segera dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk pembedahan. Keadaannya dilaporkan stabil.

Hasil pemeriksaan terhadap kereta suspek mendapati terdapat mayat seorang wanita disyaki berbangsa Cina di bahagian belakang penumpang.

Mangsa ditemui dalam keadaan kepala dibungkus plastik dan berdarah. Kad pengenalan yang ditemui dalam kenderaan atas nama Foo Swee Toh, 63 turut dirampas bagi tujuan siasatan lanjut.

Siasatan juga mendapati kenderaan itu berdaftar atas nama seorang lelaki, Chin Soon Tuck, dan usaha mengesan pemilik sedang dijalankan.

Menurut pihak polis, kes disiasat mengikut Seksyen 302/307 Kanun Keseksaan serta Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Bedah siasat terhadap mayat wanita tersebut akan dijalankan di HRPB untuk mengenal pasti punca kematian.

Polis kini giat memburu suspek lelaki berbangsa Cina yang melarikan diri dari lokasi bersama pistol milik anggota terbabit.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi balai polis terdekat bagi membantu siasatan.