Hak 40 Peratus Bukan Ihsan, Tapi Perlu Disegerakan – Nizam

Hak 40 Peratus Bukan Ihsan, Tapi Perlu Disegerakan – Nizam

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan menegaskan tuntutan 40 peratus hasil bersih Sabah bukan soal ihsan daripada mana-mana pihak, sebaliknya hak negeri yang diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan perlu diselesaikan segera.

Beliau berkata, PGRS berdiri teguh menyokong pendirian Ketua Menteri merangkap Presiden PGRS, Datuk Seri Hajiji Noor yang terus memperjuangkan penyelesaian tuntutan berkenaan di bawah kerangka Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan.

“Tuntutan 40 peratus bukan tuntutan baharu dan bukan juga soal ihsan daripada mana-mana pihak.

Ia merupakan hak Sabah yang diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan dan sewajarnya diselesaikan dengan penuh tanggungjawab, adil serta dalam semangat sebenar pembentukan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nizam berkata, pendirian yang dibawa Hajiji dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) baru-baru ini jelas mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri untuk memastikan hak Sabah bukan sekadar dibincangkan, tetapi diterjemahkan kepada penyelesaian nyata yang memberi manfaat kepada rakyat.

Menurutnya, PGRS mengalu-alukan keputusan Kerajaan Persekutuan meningkatkan bayaran interim kepada Sabah kepada RM1.5 bilion bermula tahun ini yang disifatkan sebagai perkembangan positif hasil rundingan berterusan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bayaran interim itu tidak menutup tuntutan 40 peratus yang masih perlu dimuktamadkan.

“Sabah tidak meminta lebih daripada apa yang menjadi haknya. Kita hanya mahu apa yang telah dipersetujui dan diperuntukkan dalam kerangka Perlembagaan dilaksanakan dengan adil, konsisten dan penuh tanggungjawab,” katanya.

Dalam pada itu, Nizam berkata PGRS turut menyambut baik persetujuan secara prinsip untuk meningkatkan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak di Dewan Rakyat.

Katanya, suara Sabah perlu mempunyai kedudukan lebih kukuh dalam institusi Parlimen, selaras dengan kedudukan dan semangat Sabah serta Sarawak ketika Malaysia dibentuk pada 1963.

Beliau berkata, usaha mempercepatkan Borneonisasi perkhidmatan awam Persekutuan serta perkara lain yang masih belum diselesaikan di bawah MA63 juga perlu diberikan perhatian kerana mempunyai kaitan langsung dengan kedudukan Sabah dalam Persekutuan dan kemampuan negeri mengurus kepentingannya dengan lebih berkesan.

Nizam berkata, pendekatan Hajiji selama ini jelas iaitu tegas mempertahankan hak Sabah, namun pada masa sama memilih jalan rundingan, kerjasama serta hubungan kerajaan dengan kerajaan bagi menghasilkan penyelesaian konkrit.

Menurutnya, pendekatan berkenaan telah menghasilkan kemajuan dalam beberapa tuntutan MA63 sebelum ini dan perlu diteruskan sehingga perkara yang masih tertangguh dapat diselesaikan sepenuhnya.

“Bagi PGRS, soal hak Sabah mengatasi kepentingan politik kepartian. Apa juga yang menjadi hak negeri dan rakyat Sabah mesti diperjuangkan secara konsisten.

“Kita menghargai keterbukaan Kerajaan Persekutuan dan Perdana Menteri untuk meneruskan rundingan mengenai perkara-perkara yang belum selesai.

“Pada masa yang sama, PGRS berdiri teguh bersama Ketua Menteri dalam pendirian bahawa penyelesaian hak 40 peratus Sabah perlu diberikan keutamaan dan disegerakan,” katanya.