DBP, DBKK Disaran Bekerjasama Realisasikan Pasar Buku Di Kota Kinabalu

DBP, DBKK Disaran Bekerjasama Realisasikan Pasar Buku Di Kota Kinabalu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) disarankan untuk berganding bahu merealisasikan kewujudan Pasar Buku di ibu negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, saranan itu adalah adalah seiring dengan usaha merealisasikan negara sebagai negara membaca dan masyarakat bertaraf ilmu dunia akan dicapai menjelang tahun 2030. 

“UNESCO juga menetapkan sasaran 30 ribu judul baharu diterbitkan dalam konteks Malaysia atau 0.1 peratus daripada jumlah penduduk sesuatu negara sebagai tanda aras negara maju.

“Bagi mencapai sasaran ini, saya kira wajar diwujudkan pasar buku ataupun book market di ibu negeri ini.

“Pasar buku ini akan menjadi lokasi tumpuan masyarakat bagi mendapatkan bahan bacaan yang diperlukan, sama ada bahan bacaan baru atau bahan bacaan terpakai, malah keberadaan pasar buku ini juga boleh menjadikan daya tarikan kepada pelancong yang datang ke Sabah,” katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan ketika mewakili beliau dalam Majlis Penyampaian Buku Terbaik Ketua Menteri Sabah 2022/2023 dan Majlis Pelancaran Buku Baharu Penulis Sabah Terbitan DBP Tahun 2023/2024 di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Hajiji juga menyarankan agar pihak Perpustakaan Negeri Sabah turut ikut sama sebagai rakan strategik untuk mengadakan program pembacaan yang bersesuaian bagi mengimarahkan lagi pasar buku berkenaan.