Enam Kenderaan, Dua Motosikal Hangus dalam Kebakaran Garaj Kereta di Kg Lok...

Enam Kenderaan, Dua Motosikal Hangus dalam Kebakaran Garaj Kereta di Kg Lok Batik

0
SHARE

TUARAN: Sebuah garaj kereta jenis tidak kekal musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran di Kampung Lok Batik, di sini, awal pagi tadi.

Menurut kenyataan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Sabah, Pusat Gerakan Operasi menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.46 pagi.

Susulan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari balai.

Ketua Balai BBP Tuaran, TPgB II Mohammad Nor Amit berkata, jentera bomba tiba di lokasi pada jam 4.56 pagi dan mendapati kebakaran melibatkan sebuah garaj kereta berkeluasan kira-kira 20 x 30 kaki yang telah terbakar sepenuhnya.

“Kebakaran tersebut turut memusnahkan enam buah kenderaan dan dua buah motosikal yang berada di dalam garaj berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dengan dua pancutan sepanjang 200 kaki, bersumberkan air daripada jentera dan sebuah water tanker.

“Kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 5.15 pagi dan operasi ditamatkan pada jam 7.19 pagi setelah pasukan memastikan keadaan selamat serta tiada bahaya lain di lokasi kejadian,” katanya.

Operasi pemadaman melibatkan seramai 10 anggota bomba dengan kekuatan tiga jentera iaitu sebuah FRT, sebuah EMRS dan sebuah Water Tanker.

Tambah beliau, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian berkenaan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.