Kuala Lumpur: Akaun Facebook Malaysiakini versi bahasa Inggeris dan KiniTV, termasuk akaun peribadi sekurang-kurangnya seorang pentadbirnya, telah digantung oleh Meta pada petang Selasa.
Memetik Malaysiakini, penggantungan itu berlaku hanya beberapa jam selepas portal berita itu mendedahkan kewujudan rangkaian akaun yang secara artifisial meningkatkan sokongan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut MKini, notis penggantungan diterima sekitar jam 5.40 petang, kurang dua jam selepas laporan siasatan mereka mengenai sekurang-kurangnya 263 akaun palsu atau tiruan diterbitkan di platform tersebut.
Meta dalam notisnya mendakwa halaman Malaysiakini melanggar garis panduan komuniti berkaitan keselamatan siber, dengan alasan ia “tidak mengikut piawaian komuniti” dan dituduh mengumpul maklumat sensitif atau menggunakan taktik pancingan data.
Bagaimanapun, Malaysiakini menjelaskan siasatan mereka hanya menggunakan maklumat yang tersedia secara umum.
Sebelum laporan diterbitkan, portal itu turut mengemukakan dokumen 12 muka surat kepada Meta untuk mendapatkan maklum balas rasmi berhubung rangkaian tersebut.
Meta kemudian memaklumkan kepada Malaysiakini bahawa ia “tidak menemui bukti tingkah laku tidak tulen terselaraskan (CIB)” pada halaman Facebook Anwar.
Malaysiakini dan KiniTV telah memfailkan rayuan kepada Meta berhubung penggantungan itu.
Akaun Facebook Malaysiakini versi Bahasa Melayu bagaimanapun dilaporkan tidak terjejas setakat ini.