Hajiji Buktikan Kematangan Politik, GRS Utamakan Kestabilan Sabah

Hajiji Buktikan Kematangan Politik, GRS Utamakan Kestabilan Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pendirian Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor yang menyatakan kesediaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) memberi laluan kepada Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Lamag dan Parlimen Kinabatangan disifatkan sebagai langkah matang demi menjaga kestabilan politik Sabah.

Pemimpin kanan GRS, Datuk John Ambrose berkata, pendekatan itu mencerminkan keutamaan Hajiji untuk memelihara perpaduan dalam kerajaan negeri berbanding mengejar kepentingan politik jangka pendek.

Beliau berkata, keputusan GRS untuk tidak meletakkan calon di kedua-dua kerusi berkenaan menunjukkan keikhlasan dalam memperkukuh kerjasama dengan BN yang sebelum ini memenangi kawasan tersebut.

“Hajiji adalah pemimpin yang memahami bahawa kestabilan politik menjadi asas kepada pembangunan ekonomi dan keyakinan pelabur,” katanya.

Sebelum ini, Hajiji memaklumkan GRS cenderung tidak bertanding dalam PRK berkenaan sebagai tanda menghormati BN, sambil menjelaskan perbincangan lanjut akan diadakan bersama Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

PRK tersebut diadakan susulan pemergian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, dengan Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari penamaan calon pada 10 Januari, pengundian awal pada 20 Januari dan hari mengundi pada 24 Januari.