KUALA LUMPUR – Kerajaan harus mempertimbangkan gelembung perjalanan domestik dan pembukaan rentas negeri, kata Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri.
Beliau yang dipetik BH Online berkata, industri pelancongan berkait rapat dengan pergerakan manusia dari satu lokasi ke satu lokasi yang lain.
“Bila mana tiada pergerakan bermakna, tiadalah pelancongan dan tiadalah jua aktiviti ekonomi, seterusnya tiada pekerjaan serta tiada pendapatan bagi mereka yang bekerja dalam rantaian industri ini…
“Saya berharap, kerajaan dapat menemui titik pertemuan yang boleh menyeimbangkan kesejahteraan kesihatan dan ekonomi rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, beliau berbicara bukan sahaja mengenai impak kepada ekonomi negara, tetapi juga memikirkan periuk nasi dan kelangsungan hidup penggiat industri tempatan.
Beliau menaruh harapan dan keyakinan bahawa pasti ada pendekatan baharu untuk mengawal penyebaran COVID-19 selain daripada meneruskan halangan rentas negeri.
“Biar kita menang dalam menangani pandemik ini dan kita juga menang dalam memulihkan ekonomi negara, terutamanya industri pelancongan,” kata kenyataan itu.





