KOTA KINABALU: Kerajaan MADANI terus komited melindungi rakyat daripada kesan ketidaktentuan geopolitik global dan kenaikan harga minyak dunia dengan mengekalkan subsidi bahan api, termasuk harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, ketegangan yang melibatkan Iran di Timur Tengah ketika ini memberi kesan kepada pasaran tenaga global dan berpotensi menyebabkan harga minyak dunia meningkat.
Menurutnya, konflik di rantau tersebut lazimnya akan memberi kesan kepada banyak negara termasuk Malaysia, khususnya dari segi kos tenaga dan tekanan terhadap ekonomi negara.
“Sebagai negara pengeluar minyak melalui PETRONAS, Malaysia mungkin mendapat manfaat daripada kenaikan harga minyak. Namun pada masa yang sama, peningkatan kos dalam rantaian tenaga serta beban subsidi bahan api juga boleh meningkat,” katanya dalam satu kenyataan media, pada Sabtu.
Beliau berkata, kerajaan bagaimanapun mengambil langkah proaktif dengan mengekalkan harga petrol RON95 pada RM1.99 seliter melalui pendekatan subsidi bersasar di bawah inisiatif BUDI MADANI.
Katanya, harga pasaran sebenar RON95 tanpa subsidi dianggarkan sekitar RM2.67 seliter, namun kerajaan menanggung perbezaan tersebut bagi memastikan rakyat tidak terbeban.
“Ketika ini kerajaan menanggung sekitar RM3.2 bilion setiap bulan untuk subsidi petrol dan diesel, iaitu kira-kira RM2 bilion bagi RON95 dan RM1.2 bilion bagi diesel,” katanya.
Tambah beliau, kerajaan turut mengekalkan subsidi diesel di Sabah dan Sarawak bagi memastikan kos pengangkutan, logistik serta harga barangan keperluan harian tidak meningkat secara mendadak di kedua-dua wilayah tersebut.
Menurut Mustapha, langkah itu amat penting memandangkan banyak kawasan di Sabah dan Sarawak bergantung kepada pengangkutan darat dan laut bagi memastikan bekalan barangan sampai kepada rakyat.
Beliau berkata, jika dibandingkan dengan negara jiran di ASEAN, Malaysia masih antara negara yang menawarkan harga petrol paling rendah.
“Di Thailand, harga petrol boleh mencecah sekitar RM4 seliter, di Indonesia sekitar RM3 hingga RM3.50 seliter, manakala di Singapura boleh melebihi RM8 hingga RM10 seliter,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat agar memahami realiti ekonomi semasa serta menggunakan subsidi dengan lebih berhemah.
“Kita perlu kekal tenang, tidak terpengaruh dengan spekulasi dan terus bersatu sebagai rakyat Malaysia dalam menghadapi ketidaktentuan global ketika ini.
“Kerajaan MADANI akan terus mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kestabilan ekonomi negara serta melindungi kebajikan rakyat,” katanya.






