KM Hajiji: Hubungan Baik Sabah – Persekutuan Penting Untuk Sabah

KM Hajiji: Hubungan Baik Sabah – Persekutuan Penting Untuk Sabah

0
SHARE

TUARAN: Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor mengulangi pendiriannya mengenai kepentingan hubungan yang erat di antara kerajaan negeri dan persekutuan dalam menentukan masa depan negeri ini.

Beliau berkata, banyak hasil yang boleh diperolehi rakyat dan negeri ini dengan adanya hubungan baik Sabah – Persekutuan, khususnya di bawah Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim.

Hajiji turut berkongsi mengenai pembabitan kerajaan negeri yang diwakili beliau dalam rundingan dengan kerajaan Indonesia atas inisiatif Perdana Menteri yang membawanya dan Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Abang Openg, baru-baru ini.

“Satu lagi saya ingin kongsikan, apabila kita adakan rundingan dengan kerajaan Indonesia, Perdana Menteri jemput saya dan Premier Sarawak berjumpa Presiden Probowo di Jakarta.

“Ini urusan negara, tapi ada kaitan dengan Sabah dan soal sempadan Kalimantan, jadi Perdana Menteri jemput kita untuk menyatakan pendirian kita kepada Probowo.

“Tidak pernah berlaku sebelum ini. Ini bukan urusan kita, ia urusan luar negara, jadi kita senang hati juga dibawa naik jet bersama Perdana Menteri ke Jakarta, mana ada Perdana Menteri begini sebelum ini.

“Perdana Menteri suruh saya bercakap kepada Probowo dan saya cakaplah, jadi hasilnya bagus. Inilah hasilnya apabila ada hubungan baik dengan persekutuan dan ia mesti dikekalkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Temu Rapat Pimpinan Masyarakat Tempatan dan Sahabat Usahawan Tuaran bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Panglima Anwar Ibrahim di Dewan Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, Lok Batik pada Khamis.

Atas sebab itu, Hajiji berkata kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) – Pakatan Harapan (PH) yang memerintah negeri sebelum ini mesti dikekalkan pada Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Sabah (PRU DU) Sabah Ke-17, Sabtu ini.

“Jadi saya berharap kita mesti kekalkan kerajaan GRS – PH, yang lain itu pandai cakap saja, sikit-sikit mahu gaduh dengan federal. Apa mahu gaduh, kita mesti juga menjaga kepentingan negara.

“Jangan kita hanya fikir hak negeri, tapi negara kita runtuhkan, ada juga begitu di Sabah ini. Di Sabah ini ada macam-macam, malah 14 calon bertanding satu kerusi, itulah hebat Sabah ini.

“Ada yang tidak boleh menang pun jadi calon. Saya bukan menghina atau memperkecilkan rakan, tapi saya mahu beri ingatan jangan pilih mereka yang sudah diberi peluang mentadbir Sabah sebelum ini, mereka itu yang sebenarnya gagal,” katanya.

Hajiji berkata, kerajaan GRS-PH sebelum ini membuktikan keupayaan mentadbir dan mengurus Sabah selama lima tahun dengan kejayaan mengangkat ekonomi dan membangunkan Sabah melalui hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) 1.0.

“Saya berharap rakyat di Sabah terutama di Tuaran jangan salah pilih kerajaan, pilihlah kerajaan yang dapat membawa kemajuan dan pembangunan kepada rakyat dan negeri Sabah.

“Jangan pilih kerajaan yang sudah diberi peluang oleh rakyat Sabah dua tahun setengah, tapi mereka gagal mentadbir Sabah. Kerana itulah mereka ditolak pada pilihan raya lalu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi GRS itu yang juga calon GRS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sulaman memberi jaminan empat kerusi ditandingi GRS di Tuaran iaitu Sulaman, Pantai Dalit, Tamparuli dan Kiulu dapat dimenangi gabungan itu pada Sabtu ini.

Beliau turut berterima kasih kepada PMX yang disifatkannya seorang yang prihatin kepada Sabah kerana datang ke Tuaran memberi kata-kata semangat menjelang hari mengundi PRU Sabah Ke-17 yang berbaki dua hari lagi.