TAWAU: Seorang lelaki berusia 30-an dilaporkan mengalami kecederaan di tangan dan muka akibat dipukul menggunakan kayu dan parang dalam kejadian di kawasan Kampung Titingan, Tawau, petang Sabtu lalu.
Suspek bertindak memukul mangsa selepas suspek tidak berpuas hati tuduhan mangsa bahawa anak buah suspek sering mengugut anak buah mangsa mengenai isu pinjam basikal.
Susulan itu, polis Tawau menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes serangan terhadap seorang individu.
Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin, berkata suspek ditahan susulan laporan Polis yang dibuat oleh ibu saudara mangsa berusia 67 tahun kira-kira jam 4.00 petang yang mendakwa adik saudaranya telah dipukul dalam satu pertikaian disebabkan berkaitan pinjam basikal.
Menurutnya, kejadian berlaku ketika mangsa dan suspek sedang berbincang mengenai dakwaan bahawa anak buah suspek sering mengugut anak buah mangsa.
“Pertemuan itu bagaimanapun bertukar tegang apabila suspek didakwa tidak berpuas hati dengan tuduhan tersebut dan bertindak memukul mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Katanya, setelah mangsa pulang ke rumah tidak lama kemudian datang semula empat rakan suspek bertindak memukul mangsa dengan bersenjatakan kayu dan parang.
“Mangsa berusia 30-an itu telah dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan, akibat daripada kejadian tersebut, mangsa mengalami kecederaan di tangan dan muka,” katanya.
Susulan daripada itu, pada hari yang sama kira-kira jam 5.30 petang, sepasukan Polis dari Pondok Polis Kawasan (PPK) Titingan bersama Strike Team, Balai Polis Tawau memberkas suspek warga asing berusia 30-an di sekitar kawasan Kampung Titingan.
Tambahnya, Polis turut merampas dua batang kayu yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan tersebut serta mengesan beberapa individu lain yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan sengaja menggunakan senjata atau alat yang berbahaya.
Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda, atau sebatan atau kedua-duanya sekali dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh menggunakan senjata. Jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 5 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Pihak polis juga menasihatkan orang ramai agar tidak mengambil tindakan sendiri yang boleh memburukkan keadaan dan menyeru mereka untuk menyelesaikan perselisihan melalui saluran yang betul.






