MEMBAKUT: Lima keluarga penerima Rumah Mesra Sabah Maju Jaya (SMJ) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Membakut bakal meraikan sambutan Krismas tahun ini dengan lebih selesa di rumah baharu.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata, beliau bersama pimpinan kawasan Membakut telah berziarah dan menyampaikan kunci rumah SMJ kepada lima penerima, pada Ahad.
“Ini kerana dengan rumah ini mereka semua dapat menyambut Krismas dirumah baharu dan mudah-mudahan tahun baru akan datang mereka akan dapat melaksanakan kegiatan-kegiatan kehidupan mereka termasuk untuk memudahkan anak-anak mereka menjalani pelajaran di rumah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyerahkan kunci rumah mesra SMJ kepada lima penerima di sini, pada Ahad.
Arifin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Membakut berkata, rumah yang dicetuskan Ketua Menteri itu juga adalah sebagai kesejahteraan rakyat yang menjadi salah satu daripada agenda halatuju SMJ, modal insan dan kesejahteraan rakyat.
“Setiap tahun kita menyediakan 20 buah rumah tapi tahun hadapan 40 buah rumah telah diluluskan oleh Ketua Menteri untuk setiap DUN dan mudah-mudahan akan ramai lagi yang dapat nikmat daripada rumah SMJ ini.
“InsyaAllah di pihak DUN Membakut kita sudah kenal pasti bersama-sama dengan pihak berkaitan yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah sendiri, mereka yang disenaraikan untuk mendapat rumah SMJ menjelang 2025.
“Tidak lama lagi dan kita sudah senaraikan dan kita akan pilih mereka yang layak untuk menerima 40 buah rumah SMJ. Tetapi ada beberapa buah rumah SMJ ini kita berikan kepada mereka yang terlibat dalam kebakaran. Ini kita akan berikan keutamaan,” katanya.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan negeri pimpinan Ketua Menteri atas ilham yang luar biasa yang digagaskan untuk mewujudkan rumah mesra SMJ.
“Sekurang-kurangnya ini dapat membela rakyat, membantu rakyat, mengurangkan bebanan rakyat dan yang sangat penting memberikan keselesaan kepada rakyat khususnya anak-anak pelajar yang akan mengulangkaji pengajian mereka di rumah masing-masing,” katanya.