Lelaki Warga Emas Cedera, Dipukul dan Ditendang Anak Sendiri Tanpa Sebab

Lelaki Warga Emas Cedera, Dipukul dan Ditendang Anak Sendiri Tanpa Sebab

0
SHARE

TAWAU: Seorang lelaki warga emas berusia 69 tahun cedera selepas dipukul dan ditendang oleh anaknya sendiri dalam kejadian di Kampung Sungai Imam, di sini baru-baru ini.

Insiden yang berlaku tanpa sebab itu turut mencetuskan panik dalam kalangan keluarga sebelum polis bertindak menahan suspek pada awal pagi Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi ketika mangsa berada di rumah sebelum anaknya secara tiba-tiba bertindak agresif.

“Suspek dipercayai mengamuk lalu memukul serta menendang mangsa hingga menyebabkan kecederaan pada bahagian badan dan muka.

“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan anggota dari Balai Polis Bombalai yang diketuai Ketua Polis Balai melakukan tangkapan kira-kira jam 1 pagi.

“Suspek berusia 38 tahun dan tidak bekerja, ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 323/18A Kanun Keseksaan,” katanya.

ACP Jasmin turut menasihatkan masyarakat agar menghormati ibu bapa, mengawal emosi dan menyelesaikan konflik secara matang bagi mengelakkan tragedi keluarga seperti ini.

Beliau menegaskan bahawa pihak polis tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk keganasan domestik dan menggesa orang ramai menyalurkan maklumat segera bagi mencegah kejadian lebih buruk.