KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Sipitang, Datuk Matbali Musah menyambut baik peluncuran Dashboard MA63 yang berlangsung di Parlimen hari ini, sambil menyifatkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) sebagai satu perjanjian penting yang berupaya mengharmonikan hubungan dalam kalangan rakyat Malaysia, khususnya di Sabah dan Sarawak.
Menurut beliau, MA63 bukanlah satu perkara baharu kerana perjanjian tersebut telah termaktub sejak tahun 1963 dan perlu terus difahami serta dilaksanakan dengan baik demi masa depan rakyat di kedua-dua wilayah berkenaan.
“Perjanjian ini adalah sesuatu yang sangat penting kerana ia mengharmonikan rakyat kita. Ia bukan hanya untuk kepimpinan, tetapi juga perlu difahami oleh semua lapisan masyarakat termasuk para pelajar yang datang ke Sabah dan Sarawak untuk mengetahui sejarah serta kandungan MA63,” katanya ketika ditemui selepas majlis berkenaan.

Majlis peluncuran itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud, yang turut menyentuh mengenai perjalanan dan hala tuju pelaksanaan MA63 dalam ucapannya.
Matbali mengakui sebelum ini terdapat beberapa kekangan dalam pelaksanaan perjanjian tersebut, khususnya melibatkan pentadbiran terdahulu.
Namun beliau melihat pendekatan Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini lebih jelas dan bersungguh-sungguh dalam memastikan MA63 dilaksanakan secara menyeluruh dan harmoni.
“Di bawah kepimpinan Perdana Menteri sekarang, kita dapat lihat usaha untuk melancarkan dan mengharmonikan pelaksanaan MA63. Kita berharap perjanjian ini akan terus berjalan dengan baik sebagaimana yang telah dimeterai dahulu dan mampu menyelesaikan isu-isu berkaitan,” ujarnya.
Mengulas kemungkinan wujud pihak yang cuba mempolitikkan MA63, beliau menyeru semua pihak agar tidak mengambil kesempatan dengan menyebarkan persepsi negatif yang boleh mengelirukan rakyat.
“Kita maklum ada pihak yang mungkin mempolitikkan perkara ini, tetapi kita berharap dan mendoakan agar perjuangan MA63 ini terus diperkasakan oleh kepimpinan negara demi kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa pelaksanaan MA63 yang konsisten dan sempurna amat penting bagi menjamin masa depan yang lebih adil dan sejahtera untuk rakyat di kedua-dua negeri tersebut.






