MAFFI Tegas Tingkatkan Produktiviti, Modenkan Sektor Pertanian dan Perikanan

MAFFI Tegas Tingkatkan Produktiviti, Modenkan Sektor Pertanian dan Perikanan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) menegaskan komitmen untuk meningkatkan produktiviti serta memodenkan sektor pertanian dan perikanan negeri sebagai langkah strategik memperkukuh keselamatan makanan dan tahap sara diri Sabah.

Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, usaha berkenaan turut menyasarkan pengurangan kebergantungan kepada import makanan secara berperingkat melalui peningkatan pengeluaran tempatan.

Katanya, keutamaan strategik kementerian memberi tumpuan kepada pengeluaran padi dan beras, sektor ternakan seperti lembu dan ayam, sayur-sayuran serta perikanan bagi menjamin kestabilan harga, kesinambungan bekalan dan kebajikan rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan amanat pada Majlis Amanat Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah serta Sambutan Tahun Baharu 2026 di Dewan Serbaguna Wisma Pertanian Sabah, di sini, hari ini.

Jamawi menegaskan, sektor pertanian, perikanan dan industri makanan merupakan tonggak strategik pembangunan negeri, bukan sahaja untuk menjamin keselamatan makanan, malah memperkukuh daya tahan ekonomi serta menjana pendapatan masyarakat luar bandar.

“Segala perancangan dan pelaksanaan MAFFI mesti selari dengan agenda Sabah Maju Jaya serta diperkukuh melalui kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Menurut beliau, peralihan kepada pertanian pintar, penggunaan mekanisasi, amalan pertanian berketepatan tinggi serta pemanfaatan data, teknologi dan inovasi perlu dipercepatkan melalui kerjasama strategik dengan universiti dan institusi penyelidikan.

Mengulas penglibatan belia, Jamawi berkata masa depan sektor pertanian dan perikanan Sabah amat bergantung kepada golongan muda dan sektor berkenaan perlu diposisikan sebagai kerjaya yang berdaya maju, bermaruah dan menguntungkan.

“Kerajaan Negeri akan terus menyokong pembangunan agropreneur belia, memperkasa perniagaan dan koperasi baharu serta menambah baik akses kepada tanah, pembiayaan dan sokongan teknikal,” katanya.

Dalam masa sama, beliau menegaskan pemerkasaan petani, nelayan dan komuniti luar bandar kekal sebagai fokus utama bagi meningkatkan pendapatan golongan sasar serta mengurangkan kebergantungan kepada orang tengah.

Jamawi turut menekankan kepentingan tadbir urus yang baik, sistem penyampaian cekap serta integriti tinggi dengan toleransi sifar terhadap ketirisan dan ketidakcekapan, selain menggesa semua agensi bersikap proaktif dan turun ke lapangan menyelesaikan isu rakyat.

Mengulas cabaran perubahan iklim, beliau berkata MAFFI akan menggalakkan amalan pertanian lestari, penggunaan tanaman berdaya tahan iklim serta pengurusan tanah secara bertanggungjawab.

Dalam perkembangan berkaitan, Jamawi memaklumkan MAFFI akan melaksanakan Inisiatif Kebun Dapur secara berstruktur di seluruh Sabah bagi menggalakkan isi rumah, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman, mengusahakan tanaman, ternakan kecil serta perikanan skala kecil.

“Inisiatif Jelajah Kebun Dapur pertama akan dilancarkan di daerah Tuaran dan dirasmikan oleh Ketua Menteri bulan depan menggunakan pendekatan mentor-mentee bagi menarik minat generasi muda,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif itu turut memberi pendedahan kepada teknologi pertanian pintar, automasi dan penggunaan Internet Benda (IoT) selaras dengan usaha memodenkan sektor pertanian negeri.

Dalam Belanjawan 2026, MAFFI diperuntukkan sebanyak RM559.85 juta, sekali gus membuktikan komitmen Kerajaan Negeri dalam memacu pembangunan sektor pertanian demi kesejahteraan petani, penternak, nelayan dan usahawan tani.