Mahkamah Arah Lelaki Bayar RM9.6 Juta, Upah Kerja Rumah Bekas Isteri

Mahkamah Arah Lelaki Bayar RM9.6 Juta, Upah Kerja Rumah Bekas Isteri

0
SHARE

SEPANYOL – Bagi mereka yang sudah berkeluarga, kerja rumah seperti mencuci pinggan, tandas, membersihkan habuk bilik, menjaga anak-anak dan banyak lagi tugasan perlu dibahagikan sama rata antara suami dengan isteri.

Bagaimanapun, jika imbangan kerja tidak sama rata, ia boleh menjejaskan salah seorang daripada mereka.

Namun, ada yang melakukannya tanpa sebarang komplen, dan segelintir lagi bertindak menyuarakan rasa tidak puas hati mereka.

Seorang wanita bernama Ivana Moral tergolong dalam kategori mereka yang tidak puas hati.

Baru-baru ini Mahkamah Velez-Malaga di selatan Sepanyol mengarahkan bekas suaminya membayar wang pampasan RM9.6 juta (£1,800,000) untuk tugasan kerja rumah yang dilakukannya selama 25 tahun.

Memetik laporan Metro, hukuman itu ditentukan berdasarkan gaji minimum kerja yang diperlukan oleh Moral sepanjang perkahwinannya.

Hakim mendapati Moral yang merupakan ibu kepada dua orang anak bertanggungjawab terhadap semua kerja rumah selama lebih dua dekad.

Menurut penyelesaian perceraian, dia menghabiskan “masanya bekerja di rumah, yang bermakna menjaga rumah dan keluarga.”

Dalam temu bual dengan radio Cadena Ser, Moral mendakwa suaminya mahu dia bekerja di rumah dan sekali-sekala di dalam gim dimilikinya.

Mahkamah tersebut turut memerintahkan bekas suami itu mesti membayar Moral nafkah penjagaan dua anak mereka setiap bulan.