Majlis Daerah Putatan Kemuka Semula Permohonan PPR Baharu

Majlis Daerah Putatan Kemuka Semula Permohonan PPR Baharu

0
SHARE
Shahelmey
Shahelmey ketika ditemui media ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

PUTATAN, SABAH – Majlis Daerah Putatan akan mengemukakan semula permohonan pembinaan Program Perumahan Rakyat (PPR) baharu di daerah berkenaan.

Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya berkata, kini hanya terdapat dua PPR di kawasan parlimen Putatan iaitu di Taman Sri Serigai dan Taman Sri Keramat yang mana kedua-duanya kini telah penuh.

“Saya selaku wakil rakyat setiap hari mendapat rayuan daripada rakyat yang memerlukan rumah PPR, justeru itu jalan penyelesaiannya adalah untuk mendapatkan PPR yang baharu.

“Sekiranya kita dapat satu di Putatan dan satu di kawasan Sembulan dan Tanjung Aru, ia merupakan satu rancangan atau pelaksanaan yang bertepatan sekali memandangkan Putatan berada di pinggir Kota Kinabalu jadi keperluan PPR ini begitu tinggi.

“Pada tahun lepas, kita telah mencadangkan dan memohon kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Persekutuan untuk dua tapak cadangan tapak PPR di Kampung Potuki dan Pasir Putih.

“Walau bagaimanapun, pihak Jabatan Perumahan Negara di bawah KPKT telah melawat tapak tersebut dan kita dimaklumkan untuk Sabah, hanya tapak PPR di Kuala Penyu diluluskan bagi Belanjawan 2024,” katanya ketika ditemui di Program Jiwa Komuniti Madani di Dewan PPR Taman Sri Serigai, pada Sabtu.

Shahelmey yang juga Ahli Parlimen Putatan memaklumkan Menteri Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dijangka akan datang ke Putatan pada minggu hadapan untuk tujuan merasmikan Balai Bomba dan Tamu Putatan selain datang ke PPR Sri Serigai bagi lawatan kerja.

“Jadi, saya maklumkan kepada Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan untuk mengemukakan sekali lagi permohonan untuk PPR dibina di daerah/parlimen Putatan,” jelasnya.

Terdahulu, Shahelmey bersama-sama enam Komuniti Madani di Putatan menjayakan Program Jiwa Komuniti Madani bersempena Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17, Sultan Ibrahim.

“Tujuan program adalah bagi memberi kesedaran kepada masyarakat setempat ataupun Komuniti Madani tentang acara bersejarah yang diadakan pada pagi ini sekali dalam lima tahun iaitu pertabalan Yang di-Pertuan Agong yang baharu.

“Jadi ini sudah tentu menaikkan semangat dan memberi pengalaman yang baik bagi mereka yang berada di dewan pada pagi ini (semalam),” ujarnya pada program anjuran Komuniti Madani Putatan yang diurus tadbir Jabatan Penerangan Sabah itu.

Turut hadir, Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor, Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Putatan, Ahmad Helmy Mohd Taib dan Ketua Komuniti Madani Keramat, Sumitah Hassan. — JABATAN PENERANGAN SABAH