Maklum Pihak Atasan Jika Tidak Mampu Laksana Tanggungjawab – Hajiji

Maklum Pihak Atasan Jika Tidak Mampu Laksana Tanggungjawab – Hajiji

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pegawai atau kakitangan kerajaan negeri yang merasakan tidak mampu melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan secara berkesan diminta supaya memaklumkan perkara itu kepada pihak atasan atau Ketua Menteri sendiri bagi tujuan pertimbangan penempatan semula.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, langkah itu penting bagi membuka ruang penambahbaikan, memperkasa keupayaan perkhidmatan awam serta memastikan kepentingan rakyat sentiasa diutamakan.

Menurut beliau, penjawat awam bukan sekadar pelaksana arahan, sebaliknya merupakan rakan strategik kepada kepimpinan kerajaan dalam menterjemahkan dasar dan program kepada hasil yang memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat.

“Penjawat awam bukan sekadar ‘Saya Yang Menurut Perintah’, tetapi rakan strategik kerajaan. Perkhidmatan awam adalah tulang belakang kepada kestabilan dan keberkesanan pentadbiran. Kerajaan boleh bertukar ganti, dasar boleh berubah, namun perkhidmatan awam mesti kekal profesional, neutral dan berorientasikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Ketua Menteri kepada Penjawat Awam Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Jumaat.

Hajiji menegaskan anggota perkhidmatan awam perlu memiliki semangat perkhidmatan yang tinggi, berdisiplin serta berintegriti, memandangkan perlakuan tidak berintegriti bukan sahaja mencemarkan nama baik individu, malah memberi kesan kepada institusi, keluarga serta boleh mengakibatkan kerugian besar kepada negeri dan negara.

Bagi memperkukuh tahap integriti perkhidmatan awam, beliau berkata Kerajaan Negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri sedang berusaha mendapatkan pensijilan Sistem Pengurusan Kualiti MS ISO 9001:2015 dan Sistem Pengurusan Anti-Rasuah ABMS 37001:2025 secara bersepadu.

“Inisiatif ini akan memperkukuh tadbir urus organisasi, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan serta menzahirkan komitmen berterusan terhadap integriti, ketelusan dan akauntabiliti,” katanya.

Beliau turut menegaskan keperluan memperkasa perkhidmatan awam merangkumi semua agensi kerajaan, termasuk badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), bagi menjamin sistem penyampaian yang efektif dan efisien secara konsisten.

Dalam pada itu, Hajiji merakamkan penghargaan kepada rakyat Sabah atas mandat yang diberikan kepada Kerajaan Negeri untuk meneruskan pemerintahan bagi penggal kedua, sekali gus meletakkan Sabah dalam kedudukan yang lebih stabil berbanding lima tahun lalu.

Menurutnya, kestabilan politik hasil penguasaan dua pertiga kerusi Dewan Undangan Negeri membolehkan kerajaan melaksanakan agenda pembangunan jangka panjang, termasuk cadangan menghadkan tempoh jawatan Ketua Menteri kepada dua penggal, penambahan anggota Kabinet serta penstrukturan semula kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

“Langkah penambahbaikan ini selaras dengan aspirasi rakyat dan agenda pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya 2.0, bagi memastikan jentera pentadbiran negeri lebih responsif, cekap dan berkesan,” katanya.

Beliau menegaskan Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan secara konstruktif demi memastikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat Sabah sentiasa terpelihara.