Manifesto GRS Tawar 16 Strategi Pembangunan Menyeluruh Demi Masa Depan Sabah

Manifesto GRS Tawar 16 Strategi Pembangunan Menyeluruh Demi Masa Depan Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) hari ini melancarkan Manifesto Pilihan Raya Umum Dewan Undangan (PRU DU) Sabah Ke-17 yang menggariskan satu gagasan, empat rukun dan 16 strategi pembangunan komprehensif sebagai hala tuju negeri bagi tempoh lima tahun akan datang.

Pelancaran manifesto tersebut disempurnakan oleh Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini.

Dalam ucapannya, Hajiji menegaskan bahawa manifesto bertemakan “Rumah Kita, Kita Jaga – Tanah Air Maju, Rakyat Berkemajuan” itu adalah deklarasi akujanji, komitmen dan perancangan strategik GRS kepada rakyat Sabah bagi menentukan masa depan negeri melalui pilihan raya pada 29 November ini. 

Beliau berkata, manifesto tersebut selaras dengan dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menjadi panduan utama kerajaan dalam membangunkan negeri sejak lima tahun lalu.

Hajiji menjelaskan bahawa manifesto ini dibina berasaskan empat tunjang utama perjuangan GRS, iaitu Sabah First, Sabah Forward, Sabah Prosper dan Sabah United.

Empat tunjang ini telah dizahirkan sejak 2022 dan kini diperkukuh menjadi komponen utama manifesto menuju kemakmuran Sabah dalam jangka masa lima tahun akan datang.

Menurutnya, GRS bertekad menyempurnakan setiap komitmen dalam manifesto yang mencakupi pembangunan ekonomi, infrastruktur, keselamatan, pendidikan, modal insan, kelestarian alam dan kesejahteraan rakyat, termasuk tuntutan hak Sabah sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.

Beliau menambah bahawa perjuangan GRS adalah dari rakyat dan untuk rakyat, berpaksikan semangat menjunjung kedaulatan undang-undang serta keazaman untuk memastikan Sabah terus maju dan makmur.

Beliau yakin manifesto yang komprehensif dan berpandangan jauh ini akan menerima sokongan besar daripada rakyat, sekali gus membolehkan GRS menguasai 55 kawasan DUN yang ditandingi serta membentuk kerajaan negeri yang stabil dan progresif.

Dalam perincian manifesto, Rukun 1 iaitu Sabah First menegaskan keutamaan untuk melaksanakan hak-hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).

GRS turut memperjuangkan tuntutan ke atas Pemberian Khas 40 peratus hasil bersih dikembalikan kepada Sabah, selain memastikan keselamatan serta integriti sempadan negeri terus dipertahankan.

Tumpuan kepada autonomi wilayah turut diberi perhatian bagi memastikan Sabah lebih berkuasa dalam menentukan hala tuju pentadbirannya.

Sementara itu, Rukun 2 iaitu Sabah Forward memberi tumpuan kepada pengukuhan ekonomi melalui penerokaan sumber baharu seperti Ekonomi Digital dan Pemerdagangan Kredit Karbon.

GRS turut merancang mewujudkan Dana Pelaburan Masa Depan Anak Sabah atau Sabah Sovereign Wealth Fund, dengan modal awal daripada rizab negeri serta tambahan tahunan daripada Pemberian Khas 40 peratus.

Usaha menarik pelaburan asing dan domestik, serta memastikan anak Sabah mendapat peluang pekerjaan yang lebih berkualiti, turut menjadi inti pati rukun ini. Di bawah Rukun 3, Sabah Prosper, GRS bertekad menggandakan hasil negeri sehingga mencapai sasaran RM10 bilion.

Fokus turut diberikan kepada penyelesaian isu infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik, jalan raya dan jaringan komunikasi.

GRS juga menekankan pentingnya menangani isu kemiskinan, peluang pekerjaan, perumahan, keperluan golongan rentan, serta memperkasa pengurusan bencana dan pembangunan daerah kurang membangun.

Reformasi institusi serta perundangan, termasuk penetapan had dua penggal bagi jawatan Ketua Menteri, turut menjadi komitmen rukun ini.

Rukun terakhir, Sabah United, memfokuskan kepada usaha meraikan kepelbagaian kaum dan agama di Sabah sambil memperkukuh keharmonian rakyat.

Manifesto ini memberi jaminan bahawa setiap anak Sabah berhak menikmati akses dan peluang yang adil untuk meningkatkan mobiliti sosial tanpa ada golongan yang terpinggir.

Ia turut menekankan nilai kekitaan dalam memperjuangkan agenda Sabah Diutamakan, di samping memastikan GRS terus menjadi platform penyatuan parti-parti lokal demi kestabilan politik negeri serta pengukuhan kuasa Sabah dalam Persekutuan Malaysia.