KOTA KINABALU: Parti Impian Sabah (PIS) muncul sebagai parti pertama mengumumkan senarai calon bagi semua 73 kerusi Dewan Undangan (DU) Sabah menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah 2025.
Presidennya, Michel Alok, berkata langkah itu membuktikan kesediaan parti baharu itu menghadapi pilihan raya dengan keyakinan bahawa rakyat kini lebih matang dan tidak mudah terpengaruh dengan politik wang.
Beliau mengakui PIS bukan parti kaya, namun memiliki “banyak air liur” – merujuk kepada semangat mereka untuk turun padang bertemu rakyat dan menyampaikan mesej secara langsung.
“Strategi sama pernah digunakan oleh PBS menentang Berjaya pada 1985, ketika wang dan beras di tepi jalan pun tidak mampu membeli undi rakyat,” katanya.
Michel berkata, kesemua calon telah menerima surat pelantikan, dengan lapan peratus terdiri daripada wanita dan lapan peratus lagi belia. Calon termuda ialah Royston Adven, 33 tahun, yang akan bertanding di Bongawan.
Antara calon lain ialah Dr Julia Ongkili, anak kepada bekas Menteri Datuk Dr James Ongkili, yang akan bertanding di Tamparuli, manakala Michel sendiri akan bertanding di Telupid.
Menurutnya, jentera parti kini bersedia sepenuhnya menghadapi hari penamaan calon, dan PIS yakin sokongan pengundi muda yang membentuk 52 peratus daripada jumlah keseluruhan akan menjadi faktor perubahan.
Beliau menambah bahawa parti sedang mengumpul dana bagi menampung perbelanjaan maksimum RM100,000 bagi setiap calon seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya.
Mengulas perkembangan politik semasa, Michel berkata penarikan UPKO daripada Pakatan Harapan membuka ruang baharu kepada parti tempatan seperti PIS untuk menawarkan alternatif kepada rakyat.
“Sudah tiba masanya pengundi, terutamanya golongan muda, tidak lagi memberi peluang kepada mereka yang telah gagal. Pilihlah wajah baharu,” katanya.






