PBS Nilai Prestasi PRN-17 pada Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-40

PBS Nilai Prestasi PRN-17 pada Persidangan Perwakilan Tahunan Ke-40

0
SHARE

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) akan membuat penilaian menyeluruh terhadap prestasinya dalam Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17 pada Persidangan Perwakilan Tahunan PBS Ke-40 yang dijadual berlangsung pada 17 dan 18 Disember ini di Dewan Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), Penampang.

Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata persidangan selama dua hari itu akan menghimpunkan perwakilan dari seluruh Sabah dan akan dirasmikan oleh Pemangku Presiden PBS, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam.

Beliau berkata, selain menilai pencapaian parti pada pilihan raya negeri lalu, para perwakilan turut membincangkan dasar serta usul berkaitan usaha mempertahankan hak-hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Persidangan ini juga akan menjadi medan untuk merangka pendekatan bagi menangani isu-isu yang membelenggu rakyat, termasuk pembangunan infrastruktur, kos sara hidup dan peluang ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Pada Pilihan Raya Negeri Sabah yang berlangsung pada 29 September lalu, PBS diperuntukkan 15 kerusi dan berjaya memenangi tujuh kerusi, masing-masing di DUN Kundasang, Matunggong, Kiulu, Tandek, Lumadan, Telupid dan Limbahau.

Bangkuai berkata, persidangan kali ini amat bermakna kerana menandakan genap 40 tahun perjuangan PBS dalam memperjuangkan kepentingan serta hak rakyat Sabah.

Menurutnya, persidangan itu akan menjadi platform penting untuk parti menilai perjalanan sejak penubuhannya, memahami cabaran politik dan sosioekonomi semasa, selain menetapkan hala tuju PBS bagi menghadapi masa depan.

Beliau berkata, Dr Joachim juga dijadual merasmikan pembukaan Persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita PBS pada 17 Disember, diikuti Persidangan Perwakilan Tahunan PBS pada 18 Disember yang dijangka dihadiri barisan kepimpinan parti, wakil akar umbi serta tetamu jemputan.

Bangkuai berkata, persidangan itu diadakan ketika PBS terus memainkan peranan penting dalam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta menyumbang kepada kestabilan politik dan pembangunan negeri.

“Seiring sambutan ulang tahun ke-40 penubuhannya dan melangkah ke dekad kelima, PBS akan terus mempertahankan kepentingan Sabah, memacu pembangunan inklusif dan memastikan suara rakyat sentiasa diberi perhatian,” katanya.