KUCHING: Dua pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Kuching didakwa mengugut untuk merogol dan menikam rakan sekelas perempuan mereka sebanyak 300 kali dalam satu insiden buli yang mengejutkan.
Mangsa, seorang pelajar Tingkatan Satu, turut diserang secara fizikal apabila dua pelajar terbabit membaling batu ke arah belakang dan kepalanya di dalam kelas.
Ketakutan dan trauma akibat ugutan ganas itu menyebabkan mangsa menangis sebelum segera melaporkan kejadian kepada pihak sekolah.
Ketua Biro Aduan Awam Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Milton Foo, mengesahkan kejadian itu selepas menerima aduan daripada ibu bapa mangsa yang trauma.
“Ugutan yang dibuat amat melampau dan berunsur keganasan seksual. Ini bukan perkara remeh dan perlu ditangani secara serius,” katanya.
Susulan laporan polis yang dibuat oleh keluarga mangsa, pihak sekolah hanya menggantung dua pelajar terbabit selama tiga hari, dengan seorang daripada mereka dipindahkan ke kelas lain.
Tindakan disiplin itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan orang ramai yang menyifatkannya sebagai tidak setimpal dengan kesalahan dilakukan.
Pihak polis dilaporkan telah memberi amaran lisan kepada pelajar berkenaan dan mengarahkan mereka memohon maaf secara peribadi kepada mangsa.
Mangsa kini diberikan cuti khas dan akan menerima kaunseling psikologi untuk membantu memulihkan trauma dialami.
Foo turut menegaskan bahawa pendedahan berlebihan kepada kandungan ganas dan berunsur lucah di media sosial serta permainan video boleh menjadi punca kepada tingkah laku sebegitu.
Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berdepan desakan peletakan jawatan susulan siri insiden keselamatan sekolah yang semakin membimbangkan.
Beliau berkata “kritikan” itu menjadi peringatan agar Kementerian Pendidikan memperkukuh langkah keselamatan dan kesejahteraan pelajar di sekolah.
Kerajaan turut sedang meneliti cadangan melarang penggunaan telefon pintar bagi pelajar di bawah umur 16 tahun serta memperkenalkan saringan kesihatan mental dari Tahun 1 hingga Tingkatan 6.






