SANDAKAN: Perkampungan Penangah di daerah Tongod bakal mengalami perubahan besar apabila projek pembangunan pekan baharu seluas 200 ekar dilaksanakan secara berperingkat bermula awal tahun hadapan di bawah Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut, Datuk Masiung Banah, mengumumkan perkara tersebut dalam satu majlis makan malam “Santai Kalaga” yang berlangsung di sebuah restoran terkemuka di Sandakan semalam.
Menurut beliau, projek pembangunan bercampur itu merupakan kerjasama strategik antara kerajaan negeri dan Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB).
Ia dijangka membuka lembaran baharu kepada daerah Tongod yang kini tersenarai sebagai salah satu daerah termiskin di Malaysia.
“Sebanyak RM3 juta telahpun diperuntukkan untuk kerja-kerja awal seperti pengukuran tapak, pembinaan jalan masuk dan sistem perparitan,” katanya.
Projek pekan baharu ini akan merangkumi pelbagai infrastruktur penting termasuk bangunan komersial, perumahan awam, hospital, masjid, pejabat urusetia kecil Penangah, pejabat majlis daerah, stesen minyak serta jambatan menyeberangi Sungai Milian.
Tambah beliau lagi, kewujudan pekan baharu ini bukan sahaja bakal mempertingkatkan kemudahan infrastruktur tetapi turut menjana pertumbuhan ekonomi setempat, sekali gus memberi manfaat langsung kepada penduduk Penangah dan kawasan sekitar.
Penangah yang terletak kira-kira 70 kilometer dari Pekan Tongod dijangka mengalami lonjakan pembangunan lebih pesat, terutama dengan pembukaan sebuah kilang simen yang dijadualkan beroperasi menjelang akhir tahun 2026.