KOTA KINABALU, SABAH – Lima strategi utama digariskan kerajaan negeri bagi melaksanakan pembudayaan dan pengukuhan integriti.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, lima strategi utama tersebut adalah untuk melaksanakan inisiatif pembudayaan dan pengukuhan integriti ke arah kecemerlangan sistem pentadbiran negeri.
“Yang pertama, melalui Komitmen Pengurusan Atasan yang mana ia dapat dilihat melalui sokongan pengurusan tertinggi dalam memastikan negeri ini melonjak sebagai pelopor, peneraju dan penanda aras dalam pengurusan GIA (Governans, Integriti dan Antirasuah).
“Kedua, memantapkan kesedaran mengenai kepentingan penilaian risiko dalam organisasi yang mana pengurusan risiko rasuah dilaksanakan di setiap agensi untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran pegawai agar bertanggung jawab dalam setiap tindakan dan kuasa yang diberi.
“Ketiga, memantapkan langkah kawalan membendung risiko dan ancaman isu integriti, rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.
“Keempat, keberkesanan pemantauan dan penguatkuasaan dalam memastikan pematuhan oleh setiap pihak berkepentingan dalam organisasi di semua agensi kerajaan negeri.
“Manakala kelima, pemerkasaan latihan dan komunikasi nilai-nilai murni dalam meningkatkan pemahaman dan kemahiran pegawai kerajaan dalam membanteras isu integriti dan rasuah,” jelas beliau.
Hajiji berkata demikian ketika merasmikan Konvensyen Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah (KITA) 2023 & Sesi Penyerahan Sijil Tamat Program Pegawai Integriti Bertauliah (CelO) Siri 36 Bilangan 3 Tahun 2023 Kerajaan Negeri Sabah, di Sabah International Convention Centre (SICC) di sini, pada Isnin.
Menurut beliau, kerajaan negeri melalui Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya sedang berusaha memulihkan dan membangunkan semula ekonomi negeri dan dalam masa yang sama turut memantapkan sistem penyampaian kerajaan, agar menjadi lebih cekap, telus, pantas dan tangkas.
Bagi mencapai usaha itu katanya, ia memerlukan penjawat awam yang berdedikasi, berdisiplin dan berintegriti dalam memikul dan menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.
“Di Sabah, kerajaan negeri memetakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya sebagai landasan dengan hasrat membawa citra inklusiviti, pemilikan bersama, kesatuan dan tanggungjawab setiap anak watan untuk menjayakan agenda pembangunan negeri.
“Pemboleh daya keempat dalam Hala Tuju Sabah Maju Jaya Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya 2021 – 2025 adalah Kecemerlangan Tadbir Urus Yang Berintegriti.
“Nilai integriti merupakan asas dan keperluan utama dalam mencapai misi dan visi yang telah disasarkan.
“Bagi tujuan ini, kecemerlangan tadbir urus boleh dicapai melalui empat strategi utama, iaitu meningkatkan agenda antirasuah; penerapan nilai-nilai murni dan etika kerja terbaik; memperkukuhkan mekanisme semak dan imbang serta pembangunan pelan antirasuah organisasi,” ujar beliau.
Pada majlis tersebut, Hajiji menyampaikan Sijil Apresiasi Penambahbaikan Tata Kelola Agensi (APTA) kepada Pejabat Daerah dan Tanah Kinta Perak, Pelabuhan Tanjung Pelepas Sdn. Bhd (PTP), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Kewangan Negeri Sabah (MPF Sabah).
APTA merupakan penghargaan khas kepada agensi awam dan swasta yang telah mengambil langkah-langkah proaktif dalam melaksanakan penambahbaikan tata kelola yang dicadangkan oleh Bahagian Pemeriksaan dan Perundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Makhzan Mahyuddin serta Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki. — JABATAN PENERANGAN SABAH