Kanak-Kanak Lelaki Enam Tahun Ditemukan Mati Dalam Mesin Basuh

Kanak-Kanak Lelaki Enam Tahun Ditemukan Mati Dalam Mesin Basuh

0
SHARE

IPOH, PERAK – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun ditemukan maut di dalam sebuah mesin basuh di sebuah rumah di Kampung Sungai Tapah Tambahan, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan berkata satu laporan telah diterima pukul 11.44 pagi tadi mengenai insiden itu.

“Siasatan awal mendapati tempat kejadian adalah di sebuah rumah lot dan semasa kejadian, mangsa bersama ahli keluarga berada di dalam rumah tersebut.

“Jam lebih kurang 9.30 pagi, mangsa telah dijumpai oleh neneknya dalam keadaan tidak sedar diri di dalam mesin basuh pakaian,” katanya dalam satu kenyataan di sini, malam tadi.

Beliau berkata mangsa kemudian telah dihantar ke hospital dengan ambulans dan disahkan meninggal dunia pada pukul 11.02 pagi.

Menerusi bedah siasat dilakukan Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini mendapati punca kematian mangsa adalah kecederaan di bahagian kepala akibat objek tumpul dan kes disiasat di bawah Seksyen 31 (1) (a), Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611), katanya.

Yahaya menasihati dan memberi peringatan khususnya kepada ibu bapa atau penjaga supaya tidak membiarkan kanak-kanak bawah jagaan masing-masing tinggal tanpa pengawasan untuk mengelakkan berlakunya sebarang tragedi tidak diingini.

– BERNAMA