TAMPARULI: Pemuda UPKO Tamparuli menyatakan sokongan penuh terhadap keputusan parti keluar daripada Pakatan Harapan (PH), dengan menegaskan bahawa langkah tersebut adalah demi mempertahankan maruah politik Sabah dan memastikan autonomi negeri tidak terus dipinggirkan.
Ketuanya, Maxolvin Sintore Gabu berkata, UPKO tidak pernah diberi penghormatan sewajarnya dalam kerangka kerjasama PH, walaupun Presiden Datuk Ewon Benedick dipilih secara sah sebagai Pengerusi PH Sabah.
Penolakan terbuka pelantikan tersebut oleh PKR jelas menunjukkan PH Sabah tidak mempunyai kuasa autonomi sebenar dalam membuat keputusan politik di negeri ini.
“Segala proses rundingan, pembahagian kerusi dan hala tuju masih dikawal oleh pusat. Ini bertentangan dengan semangat ‘Sabah First’,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Pemuda UPKO Tamparuli turut melahirkan kekecewaan terhadap sikap kerajaan Persekutuan yang dilihat tidak serius dalam menunaikan pemulangan 40 peratus hasil cukai kepada Sabah seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Menurut mereka, isu ini bukan janji politik, tetapi hak rakyat Sabah yang wajib dipulangkan dan dipertanggungjawabkan.
Sehubungan itu, UPKO kini bersedia bertanding secara solo namun kekal terbuka bekerjasama dengan parti-parti tempatan lain yang berkongsi prinsip “Sabah First” serta mendahulukan kepentingan negeri berbanding politik pusat.
Pemuda UPKO Tamparuli turut menyeru semua parti tempatan meninggalkan ego dan membina kesatuan demi masa depan Sabah yang lebih makmur, bermaruah dan adil.
Sementara itu, Pemuda UPKO Tamparuli juga menyatakan sokongan penuh agar Datuk Seri Madius Tangau terus menawarkan kepimpinan beliau untuk mewakili rakyat di kerusi N14 Tamparuli, berikutan rekod pentadbiran dan perjuangan beliau yang konsisten dalam memperjuangkan isu pembangunan serta suara rakyat Sabah di negeri dan persekutuan.






