Penantian Infrastruktur Penduduk Ulu Sugut, Mansalu Kini Berakhir

Penantian Infrastruktur Penduduk Ulu Sugut, Mansalu Kini Berakhir

0
SHARE
Joachim
Joachim (kiri) menyampaikan kunci kedai runcit kepada Razil Zakaria yang tersenarai dalam Program Pembasmian Kemiskinan Tegar di bawah unit perancangan Pembangunan Persekutuan (EPU) - ( Sumber Foto: Ihsan Pejabat Timbalan Ketua Menteri Sabah )

RANAU, SABAH – Kerajaan negeri akan terus memastikan pembangunan infrastruktur dilaksanakan khususnya bagi rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam berkata demikian selepas mendengar taklimat bagi dua projek iaitu projek Menaik taraf Jalan Terawas-Malinsau-Kaingaran dan Projek Membina Jalan ke Mini Estet Sejahtera (MESEJ) Mansalu Ranau, Fasa II.

Taklimat disampaikan oleh Jurutera Daerah, Erwana Farhanah yang diadakan di Dewan Kampung Meridi, Kaingaran, di sini.

Bagi projek menaik taraf jalan, ia melibatkan sepanjang 39.515 kilometer (KM) jalan raya dua lorong satu laluan dengan reka bentuk piawai R2 Jabatan Kerja Raya.

Projek ini bermula dari Kampung Terawas dan merentasi beberapa kampung sehingga tamat di Kampung Kaingaran. Tempoh projek pula memakan masa selama 36 bulan.

Sebanyak 17 kampung yang akan mendapat manfaat daripada pembinaan jalan raya ini antaranya Kampung Timbua, Kampung Merungin 1 dan Merungin 2, Kampung Pinampadan, Kampung Tumbalang, Kampung Kepuakan, Kampung Mokodau, Kampung Malinsau, Kampung Mempakot, Kampung Mengkapoh, Kampung Wayan, Kampung Sinurai, Kampung Tinaum, Kampung Meridi dan Kampung Pinupudan.

“Saya percaya ini juga yang telah dipohon oleh pemimpin sebelum saya, iaitu kemudahan infrastruktur untuk rakyat. Kita semua akan kerja bertungkus lumus untuk memastikan rakyat mendapat kemudahan yang sepatutnya,” katanya.

Beliau turut menambah skop kerja yang akan terhasil daripada projek ini ialah pembinaan pembentung merentasi sungai, anak sungai dan aliran air.

Selain itu, kerja-kerja pemotongan cerun, penambakan, pemulihan dan perlindungan cerun juga akan dilaksanakan.

Sehubungan itu, hasil daripada penaiktarafan terdapat juga beberapa jambatan akan dibina iaitu dua jambatan sepanjang 40 meter, dua jambatan sepanjang 75 meter dan satu jambatan sepanjang 30 meter.

Manakala projek pembinaan jalan ke MESWJ Mansalu Ranau (Fasa II) melibatkan jarak 70.540 KM. Sebanyak tujuh kampung terlibat iaitu bermula dari Kampung Singgaron Baru, Kampung Langsat, Kampung Kirokot, Kampung Koboi Timbua dan Kampung Kawi.

Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan berharap semua penduduk di sini akan bekerjasama dengan pemaju-pemaju yang akan terlibat dengan pembinaan jalan raya.

Menurutnya, ini adalah antara harapan dan sasarannya selama beliau menjadi wakil rakyat di DUN Kundasang.

Sementara itu, Pegawai Daerah Ranau, Jumain Abdul Ghani bersyukur kerana setelah menanti selama tujuh tahun baru mendapat jalan baharu.

“Keluhan daripada penduduk Ulu Sugut akhirnya terjawab,” katanya.

Beliau turut berharap penduduk setempat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan pelaksanaan projek berjalan lancar.

Kedua-dua projek ini telah diangkat pada tahun 2016 dan kelulusan telah diperoleh pada tahun 2020, sementara pembinaan bermula pada 2023. Kos keseluruhan projek ialah RM657,499,551.