Bocor Maklumat: Albert Tei Dakwa Ada ‘Tikus’ Dalam SPRM

Bocor Maklumat: Albert Tei Dakwa Ada ‘Tikus’ Dalam SPRM

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ahli perniagaan, Datuk Tei Jiann Cheing atau lebih dikenali sebagai Albert Tei, mendakwa wujud ‘tikus’ dalam Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa menjadi punca kebocoran maklumat keterangan beliau kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Albert mempersoalkan bagaimana Hajiji boleh mengetahui butiran keterangannya, sambil menyifatkan perkara itu membuktikan siasatan SPRM tidak telus dan dipengaruhi pihak tertentu.

“Amat jelas ada tikus dalam SPRM. Saya mahu tahu berapa ekor tikus, siapa tikus itu dan apa jawatannya. Kenapa maklumat keterangan saya boleh sampai kepada orang yang sepatutnya disiasat?” katanya pada sidang media selepas prosiding sebutan semula kes berhubung lesen mencarigali mineral di sini, hari ini.

Albert turut mendakwa, Hajiji sebagai dalang dalam skandal rasuah mineral, namun masih tidak didakwa di mahkamah sehingga kini.

Beliau juga mendakwa Ketua Menteri menggunakan kuasa untuk menyekat pergerakannya, tetapi menegaskan dirinya tidak gentar.

Menurutnya, beliau telah membuat laporan rasmi kepada SPRM mengenai salah guna kuasa itu dan menuntut penjelasan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

“SPRM adalah agensi persekutuan, Ketua Menteri tiada hak untuk campur tangan. Tetapi kebocoran maklumat ini jelas menunjukkan siasatan tidak bebas dan berat sebelah,” katanya.

Albert pada masa sama memberi amaran agar namanya tidak dijadikan modal politik oleh mana-mana pihak, sambil menegaskan beliau bukan ahli mana-mana parti politik.

“Saya hanya rakyat biasa menuntut keadilan. Jangan tunggang isu saya sebagai modal politik. Selagi Hajiji ada kuasa, beliau adalah penternak tikus kerana beliau boleh tahu keterangan saya dalam SPRM,” katanya lagi.

Beliau juga mengingatkan rakyat Sabah menilai kewibawaan Hajiji yang menurutnya ‘dicekik pihak besar dari seberang’ hingga gagal memperjuangkan hak negeri ini.

Terdahulu, Tei, 37, didakwa memberikan suapan RM200,000 dan RM150,000, masing-masing kepada dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah, iaitu Datuk Dr Yusof @ Josree Yacob dan Adun Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy sebagai dorongan membantu menguruskan permohonan ‘Prospecting License’ bagi mendapatkan lesen untuk mencarigali mineral di Sabah untuk dua buah syarikat.

Dr Yusof dan Andi didakwa di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009, manakala Tei didakwa di bawah Seksyen 16(b)(A) akta yang sama.

Semua kesalahan itu boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah rasuah atau RM10,000, mana-mana yang lebih tinggi.