Polis Kesan Waris Mayat Wanita Ditemui Terapung di Pulau Gaya

Polis Kesan Waris Mayat Wanita Ditemui Terapung di Pulau Gaya

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan waris kepada seorang wanita yang ditemui meninggal dunia selepas mayatnya ditemui terapung di kawasan perairan Kampung Kesuapan, Pulau Gaya pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan mayat tersebut kira-kira jam 4 petang daripada Ketua Kampung kawasan berkenaan.

Menurutnya, sepasukan anggota polis kemudian bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan sebelum mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Mayat wanita berkenaan telah dihantar ke Unit Forensik Hospital Queen Elizabeth I sementara menunggu waris tampil bagi tujuan pengecaman dan pengurusan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali si mati diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Polis turut menghargai kerjasama orang awam dalam membantu mengesan waris mangsa bagi memudahkan proses pengecaman serta urusan selanjutnya.