PRN Melaka Bakal Saksikan Pertembungan Parti-Parti Kerajaan

PRN Melaka Bakal Saksikan Pertembungan Parti-Parti Kerajaan

0
SHARE

MELAKA – Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan menyaksikan pertandingan sekurang-kurangnya TIGA (3) PENJURU atau lebih di kesemua 28 kerusi yang dipertandingkan sekiranya calon disenarai diterima bertanding Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada hari penamaan calon yang berlangsung esok (Isnin).

Ini selepas pengesahan daripada Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) hari ini yang masing-masing mengumumkan calon mereka untuk bertanding di kesemua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, pada PRN kali ini.

Pengumuman calon oleh ketiga-tiga parti yang dianggap dominan itu sekali gus menolak kenyataan-kenyataan pemimpin parti terutamanya BERSATU, UMNO dan PAS yang berunding untuk tidak bertembung pada PRN ini.

Menurut sumber, BERSATU dari PN akan menentang BN yang diwakili UMNO di 13 kerusi iaitu Tanjung Bidara, Ayer Limau, Lendu, Rembia, Durian Tunggal, Sungai Udang, Pantai Kundor, Paya Rumput, Pengkalan Batu, Ayer Molek, Telok Mas, Rim dan Sungai Rambai.

Sementara PAS yang bergabung dengan UMNO sebagai Muafakat Nasional (MN) pula akan bertembung di ENAM (6) kerusi iaitu Kuala Linggi, Taboh Naning, Bukit Katil, Duyong, Serkam dan Merlimau.

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya PN iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, memandangkan pertembungan di antara ‘parti-parti kerajaan’ di semua 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka tidak dapat dielakkan, kaedah kempen perlu ada batasannya supaya tidak berlaku lontaran fitnah dan tohmahan kepada parti lawan.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali…

“Kempen di Melaka perlu menggunakan fakta dan keterangan yang baik supaya dapat dinilai oleh pengundi…

“Lawan (di Melaka) ini ada batas dialah, jangan sampai kita melemparkan fitnah dan tohmahan. Saya mencadangkan biarlah kempen (di Melaka) ini kempen yang sihat dan hanya mengemukakan fakta dan keterangan-keterangan yang baik untuk dinilai oleh rakyat,” katanya.

Sementara itu, bagi pihak PAS pula mereka menzahirkan rasa kecewa dengan keputusan BN yang mengumumkan bertanding di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN Melaka ini.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang dipetik berkata, keputusan BN tidak senada dengan kepimpinan yang mengajak bersatu namun akhirnya bersaing sesama sendiri.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man…

“SEBENARNYA PERBINCANGAN INI AMBIL MASA YANG PANJANG BAHKAN SAYA BOLEH SEBUT INISIATIF YANG DIBUAT SEMUA PIHAK SANGAT POSITIF DI PERINGKAT AWAL…

“Tetapi pada hujung tiba-tiba diumum UMNO (BN) nak bertanding semua (dan) bagi kami usaha itu (menimbulkan) sedikit rasa kecewa (kerana) usaha penyatuan itu gagal pada hujungnya.

“Bagi kami, medan Melaka (PRN) ini bukan satu medan (dan) kita harap masing-masing dapat bertanding dalam konteks menjaga SOP (prosedur operasi standard) (kerana) COVID-19 masih ada dan suasana masih perlu dijaga dan berharap ini sebagai suatu mungkin hala tuju politik yang besar pada masa hadapan,” katanya pada sidang media selepas Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-67 baru-baru ini.