KOTA KINABALU: Sebanyak 26 set tandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sedang dinaik taraf secara berperingkat dengan kos keseluruhan RM11.8 juta.
Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap menteri bertanggungjawab terhadap DBKK, Datuk Joniston Bangkuai, berkata lawatan beliau dibuat susulan aduan orang ramai mengenai keadaan dan kebersihan tandas di pintu masuk utama antarabangsa Sabah itu.
Menurut Pengurus Kanan Lapangan Terbang KKIA, Jefry Ramli, daripada 26 set tandas (lelaki, wanita dan OKU), 20 set telah siap manakala enam lagi dijangka siap sepenuhnya menjelang April atau Mei 2026.
“Kerja dilakukan secara fasa kerana tidak semua tandas boleh ditutup serentak bagi memastikan kemudahan terus tersedia kepada penumpang,” katanya.
Beliau berkata setiap tandas mempunyai tempoh tanggungan kecacatan selama setahun untuk pembaikan, selain cabaran penggunaan kelengkapan baharu seperti bidet terbina dalam.
“KKIA kini mengendalikan sekitar 22,000 hingga 24,000 penumpang sehari, meningkat hingga 30,000 ketika musim puncak, dengan perkhidmatan pembersihan 24 jam melibatkan lebih 60 petugas setiap syif,” tambah beliau.
Joniston menegaskan pemantauan berterusan perlu bagi mengelakkan isu kecil menjadi tular dan menjejaskan imej lapangan terbang, sambil menambah aspek kebersihan turut dinilai melalui penarafan tahunan kebangsaan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.






